MUKAH: Setelah 10 tahun ditubuhkan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan Kecil Politeknik Mukah (PMU) telah mendapat kelulusan sebuah rumah untuk persatuan terus beroperasi terutamanya kepada ahli-ahli.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Politeknik Mukah, Dullah Muluk di perkarangan rumah tersebut yang turut sama dihadiri oleh ahli-ahli Puspanita Cawangan Kecil PMU pada pagi tadi.

Beliau yang juga selaku penaung persatuan turut berharap agar Puspanita Cawangan Kecil PMU dapat memainkan peranan utama dalam membantu Politeknik Mukah Sarawak, terutamanya pihak pengurusan untuk menjadikan PMU terus mencapai kegemilangan.

“Ini menjadi fokus dan motto kita pada tahun untuk menjadikan PMU gemilang di seluruh negara, dan dengan adanya bantuan ahli-ahli Puspanita rakan-rakan, suri-suri rumah serta staf-staf wanita yang kita ada di sini.

“Saya berharap mereka dapat membantu ahli pengurusan dalam memajukan Politeknik dengan mengadakan pelbagai aktiviti berbentuk kepimpinan, ketrampilan, kemahiran dan sebagainya dapat diadakan dan diwujudkan di rumah ini,” katanya kepada Suara Sarawak di sini tadi.

Masniah Abidin

Manakala Pengerusi Puspanita Cawangan Kecil PMU, Masniah Abidin turut memberitahu pihaknya begitu menghargai dan berterima kasih kepada pihak tertinggi PUSPANITA dan Politeknik Mukah kerana telah meluluskan sebuah rumah di PMU untuk persatuan bergerak aktif.

“Jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi Puspanita kerana telah meluluskan sebuah rumah untuk Puspanita Cawangan Kecil PMU yang kita rasmikan pada hari ini.

“Setelah pihak kita mempunyai pusat iaitu rumah puspanita ini kita dapat menjalankan segala aktiviti puspanita contohnya seminar kesihatan untuk staf politeknik Mukah dan isteri-isteri staf bagi menambahbaik lagi tahap kesihatan, aktiviti memasak, membuat kuih, bengkel pembentukan imej, dan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti lain demi kebajikan ahli-ahli kita, ” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Beliau turut memberikan harapan yang tinggi agar Puspanita Cawangan Kecil PMU dapat terus bergerak aktif dengan adanya rumah berkenaan dan telah bercadang mengadakan Lawatan ke Puspanita di Cawangan lain termasuklah mengukuhkan hubungan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Sehingga kini Puspanita Cawangan Kecil Mukah memiliki lebih 200 ahli dan 37 orang ahli jawatankuasa yang bersama-sama membantu Pengerusi bagi mengerakkan aktiviti mahupun program persatuan dengan motto Wanita Sepakat Negara Meningkat.

RUMAH BARU… Dullah Muluk merasmikan rumah Puspanita dengan memotong reben dan menandatangani plak serta menyampaikan sijil sebagai simbolik perasmian yang diadakan semalam

: Rumah Puspanita Cawangan Kecil Politeknik Mukah yang baharu.