SKUAD FT Banqku melakar sejarah hebat, menjuarai Kejohanan Bola Sepak MuFA Piala Dun Tellian 2019/2020 setelah mengatasi Oya FC 1-0 dalam aksi final di Stadium Mini Mukah petang Ahad lalu yang disaksikan sekitar 4,000 penonton.

Mohd Igat Shafizal muncul wira FT Banqku setelah menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-27.

Kedua-dua pasukan saling mencipta peluang dalam aksi sengit itu, namun FT Banqku kelihatan lebih menyerlah dan berhak untuk dinobatkan juara.

FT Banqku yang diterajui Abdul Salam Saibi sememangnya menjadi pilihan untuk juara selepas menyingkirkan pilihan utama, MyTeam 3-2 dalam aksi separuh akhir.

Dengan kemenangan itu, FT Banqku membawa pulang RM3,000, manakala Oya FC RM2,000. MyTeam pula meraih RM1,000 selaku tempat ketiga.

Sementara itu, anugerah pemain terbaik final dimenangi oleh Mohd Ikhmarrudin Jais (Oya FC) Manakala penjaring terbanyak (14 gol) dimenangi oleh Mohd Farizuddin Jais (Oya FC).

Ikhmarrudin dan Farizuddin merupakan adik-beradik.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Adun Tellian, Yussibnosh Balo sambil diiringi Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Mukah (MuFA), Sarjan Mejar Ajahar Bakar.

Sebanyak 20 buah pasukan di sekitar Mukah menyertai kejohanan tersebut yang telah bermula November tahun lalu.

Ia diadakan secara liga berkumpulan. Antara pasukan handalan yang tersingkir ialah Tellian Daya, Educ Mukah dan IPD-M FC.