PUSA: Adun Beting Maro Razaili Gapor berkata, banyak projek pembangunan untuk kemudahan rakyat sudah
siap dan bakal dilaksanakan di kawasan Dun berkenaan.

“Antaranya, Dewan Masyarakat Kampung Pusa, medan selera, masjid, pusat ekonomi, arena sukan, projek pertanian di kampung dalam kawasan Dun ini termasuk pembangunan industri apong.

“Semua projek berkenaan mendapat sokongan penuh Kerajaan Sarawak di bawah GPS pimpinan Ketua Menteri
Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Beliau berkata, agenda pembangunan luar bandar yang dibawa oleh Abang Johari akan memastikan kemajuan kawasan luar bandar seperti Beting Maro dapat dipercepatkan.

“Ini dapat dlihat melalui pelbagai projek mega terutamanya rantaian jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik termasuk fokus terhadap pertanian moden yang disokong dengan inisiatif ekonomi digital.

“Ia sangat relevan dengan rakyat Beting Maro. Cuma dalam konteks ini, rakyat perlu berusaha merebut peluang hasil pembangunan inklusif yang dibawa oleh Abang Johari dan Kerajaan GPS,” tambahnya.

Sehubungan itu, Razaili berharap ketua masyarakat dan kaum harus bijak mengatur langkah untuk mengukuhkan perpaduan dan ekonomi di kawasan Dun itu.

Sarawak jelasnya lagi, memerlukan pemimpin seperti Abang Johari untuk meneruskan agenda pembangunan terutama luar bandar.

“Tahniah dan terima kasih Abang Johari. Kami mendoakan agar beliau diberikan kesihatan supaya dapat terus meneraju Kerajaan GPS.

Beting Maro turut mendapat impak yang baik,” katanya.