LIMBANG: Ahli parlimen Limbang Hasbi Habibollah melakukan lawatan projek Menaiktaraf Tebingan Sungai Limbang fasa 1, semalam.

Lawatan berkenaan dilakukan setelah mendapat laporan berlakunya sedikit kelewatan disamping ingin mengetahui perkembangan semasa mengenai perlaksanaan projek berkenaan.

Ujar, setelah melakukan lawatan, beliau mendapati kelewatan yang berlaku adalah disebabkan oleh masalah kecil dan tidaklah sebesar apa yang diuar-uarkan kepadanya.

“Saya melakukan lawatan hari ini bagi mengetahui sendiri mengenai permasalahan sebenar yang berlaku mengenai pembinaan projek ini.

“Namun setelah meneliti permasalahan terbabit, ia hanyalah satu masalah kecil melibatkan ketidaktentuan cuaca dan dapat diselesaikan dengan mudah oleh pihak kontraktor,” katanya kepada media.

Hasbi berkata, kerja pembinaan sedang berjalan dengan baik dan lancar tanpada sebarang permasalahan.

“Di tapak pembinaan, saya dapati pembinaan sedang rancak dilakukan oleh para pekerja binaan.

“Difahamkan, setakat ini kemajuan pembinaan fasa 1 sudah mencapai 23.57 peratus untuk siap,” katanya.

Jelas beliau, pihak kontraktor turut berjanji untuk menyiapkan beberapa komponen projek dalam masa tiga bulan.

“Jika kelancaran ini berterusan, saya percaya projek pembinaan Tebingan Sungai Fasa 1 ini akan dapat disiapkan dalam tahun ini,” menurutnya.

Tambahnya, beliau percaya dengan kemampuan serta pengalaman kontraktor berkenaan yang sudah membina banyak projek mega di Sarawak.