KUCHING: Kerajaan Sarawak mempertimbang untuk menubuhkan Bank Digital, bagi melengkapi dasar ekonomi digital negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata akan meneliti mengenainya, selaras dengan inisiatif kerajaan Malaysia mahu mengeluarkan lesen Bank Digital.

“Sekarang, Malaysia mahu mengeluarkan lesen untuk Bank Digital, jadi kita lihat dulu kerana lesen ini dikeluarkan oleh Bank Negara.

“Kita lihat apa yang dapat dibuat kerana saya juga berminat untuk memohon lesen ini bagi menubuhkan Bank Digital Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hub Inovasi KCGC yang ditubuhkan oleh Dewan Perdagangan dan Industri Cina Kuching (KCGCCI) di Wisma Chinese Chambers, di sini petang tadi.