Seorang wanita Bangladesh ditahan kerana pukul teman lelaki di Miri

MIRI: Polis menahan seorang wanita warga Bangladesh bagi membantu siasatan berhubung kes menyerang dan membelasah seorang lelaki di sebuah rumah di Senadin di sini, semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu, mangsa, 23, warga Pakistan yang juga penuntut salah satu institut swasta di sini, mendakwa telah diserang oleh teman wanitanya sendiri.

Semasa kejadian, mangsa sedang tidur di bilik tidurnya apabila suspek tiba-tiba memecahkan pintu bilik sebelum masuk lalu menumbuk, mencekik dan memukulnya menggunakan kipas.

Susulan kejadian itu, mangsa yang dibawa ke hospital didapati mengalami kecederaan di bahagian hidung, leher dan calar di bahagian lengan.

Punca kejadian masih belum diketahui dan laporan polis berkenaan insiden terbabit telah dibuat pada hari yang sama untuk tindakan lanjut.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak