2,000 durian dijual sehari

KOTA SAMARAHAN: Dalam sehari, sekitar 2,000 biji durian dijual di Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Tarat sejak beberapa hari lalu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia menunjukkan perkembangan yang baik hasil penubuhan CPPC pertama yang beroperasi di Sarawak.

“Ia sekali gus menyumbang kepada pendapatan masyarakat setempat khususnya golongan petani. Inilah satu daripada inisiatif Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Sebuah syarikat di sini berjaya mengeksport durian ke China,” katanya ketika ditemui sempena Program Sarawakku Sayang 2020 yang dirasmikan oleh Abang Johari di sini, semalam.

CPPC merupakan pusat pengumpulan yang lengkap dengan infrastuktur untuk menjalankan aktiviti pemprosesan hiliran dan pembungkusan bagi menghasilkan produk menepati piawaian pasaran terutama pasaran eksport.

Selain Tarat dalam Bahagian Serian, kawasan yang akan dibangunkan dengan CPPC ialah Layar dan Spaoh (Betong), Lawas dan Limbang (Limbang), Sadong Jaya (Samarahan), Long Lama (Miri) dan Sungai Baji (Sarikei).

Sementara itu Uggah berkata, transformasi infrastruktur seperti elektrik dan air termasuk jalan dan jambatan juga berjalan dengan baik.

“Jadi ini bukan retorik sahaja tetapi adalah bukti ia menjadi kenyataan dengan wujudnya projek ini,” katanya.

Suara Sarawak