BINTANG penyerang dari Brazil, Leo Alves bakal melengkapkan slot calon import asing skuad Kuching FA.

Alves, 30, bukanlah calangcalang penyerang kerana mempunyai reputasi hebat.

Beliau pernah muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Arab Saudi ketika mewakili kelab Al Majzel pada 2017 dengan 18 ledakan gol.

Malah beliau juga pernah menyertai kelab ternama benua Arab, Al-Itihad.

Alves dilihat sebagai jawapan terbaik untuk menyelesaikan masalah sentuhan penyudah Kuching FA seperti yang berlaku musim lalu.

Ini bermakna, tiada lagi tempat buat Francis Forkey Doe, pemain import paling lama berkelana di Malaysia setelah menyertai enam pasukan ternama.

Forkey Doe merupakan antara calon pilihan awal Kuching FA, namun masih lagi dalam proses penyelesaian pasport dan visa.

Malah Forkey Doe turut menyertai skuad Kuching FA ketika aksi persahabatan dengan juara Piala Malaysia 2019, JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Larkin baru-baru ini yang menyaksikan Kuching FA kalah 4-0.

Manakala seorang lagi calon import, Fredy Lobe Mbang, 25, dari Cameroon bakal mengisi slot pertahanan.

Bekas pemain remaja Cameroon itu pernah menyertai kelab Archers United dalam Liga Filipina.

Pemilihan dua calon import asing sekarang ini sudah pun memasuki fasa akhir dengan tumpuan posisi serangan dan pertahanan.

Kuching FA sekarang ini sudah mempunyai dua import dari Jepun, Yuta Suzuki dan Akira Higashiyama.