BINTANGOR: Dua beradik terpaksa meredah kegelapan malam untuk mendapatkan bantuan selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan KJD di sini, malam tadi.

Lebih memilukan insiden yang berlaku kira-kira jam 9.00 malam itu mengakibatkan bapa mangsa maut di tempat kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memberitahu, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 14 dan tujuh tahun itu terpaksa berjalan sejauh 500 meter bagi mendapatkan bantuan penduduk yang berhampiran.

“Mangsa meninggal dunia dikenalpasti Semada Beti, 58, dari Rumah Wong Batu Lima, Jalan KJD Sungai Rayah Bintangor yang merupakan penunggang motosikal berkenaan.

“Ketiga-tiga mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka dari arah Julau menghala ke Sibu ketika kemalangan ini berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Jurucakap itu berkata, Bomba bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 9.30 malam.

Setibanya di lokasi katanya, Bomba menjumpai seorang mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira satu meter dari tempat motosikalnya ditemui.

“Mangsa yang parah di kepala dan dada disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik.

“Mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu mangsa yang cedera kini menerima rawatan susulan hospital dan dilaporkan stabil.