BINTULU: Pengamal media profesional boleh menjadi rakan kongsi strategik agensi-agensi kerajaan dalam penyampaian maklumat yang tepat mengenai dasar dan program pembangunan mereka kepada rakyat.

Pegawai Pentadbiran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bintulu, Jerida Andin berkata meskipun terdapat cabaran dari platform media sosial,media cetak dan elektronik masih merupakan sumber maklumat yang boleh dipercayai.

Oleh itu, beliau berkata terdapat keperluan bagi agensi kerajaan untuk membentuk perkongsian strategik dengan media agar dapat lebih dekat dengan rakyat di lapangan.

Jerida berkata demikian semasa berucap mewakili rakan media tempatan pada Malam Apresiasi Lembaga Kemajuan Bintulu Bintulu (BDA) di sini.

Beliau memuji BDA atas usaha menganjurkan majlis makan malam itu, yang antara lain sebagai tanda penghargaan kepada rakan-rakan media dan wakil-wakil badan bukan kerajaan atas sokongan dan kerjasama kepada pihak mereka (BDA).

Jerida Andin

“Saya percaya program seperti ini dapat meningkatkan hubungan antara BDA dan pengamal media. Ini adalah permulaan yang baik untuk tahun baharu 2020, “katanya.

Jerida memberi jaminan bahawa pengamal media tempatan akan terus bekerjasama dengan BDA untuk menyebarkan berita dan maklumat tepat kepada rakyat terutamanya dari segi projek pembangunan.

Beliau berkata adalah penting bahawa mesej itu sampai kepada masyarakat secara langsung supaya mereka tahu apa yang sedang berlaku di kawasan masing-masing.

“Sebagai pengamal media, kami akan meningkatkan kualiti kerja kami dengan menyesuaikan diri dengan cara penyampaian berita baharu untuk kekal relevan,” kata Jerida.

Lebih 30 pengamal media menghadiri majlis makan malam itu yang turut menyaksikan kehadiran pengurus besar BDA, Rodziah Morshidi.

Timbalan Pengerusi BDA Haidar Khan Asghar Khan dan pegawai kanan BDA lain turut hadir.