BINTANG muda Ghana, Mohammed Kudus, 20, bakal menerajui jentera tengah skuad Sarawak United FC II yang akan beraksi dalam Liga M3 2020.

Menurut sumber, pemain tersebut berasal dari Accra, Ghana yang pernah menyarung jersi pasukan kebangsaan.

Beliau juga pernah menyertai kelab FC Nordsjaelland dalam Liga Denmark. Gemar memakai jersi nombor 10, Mohammed mempunyai kemahiran individu yang cukup tinggi.

Ketika sesi pemilihan terbuka di Stadium Negeri Ahad lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menyatakan, pemain dari Ghana akan diuji di Semenanjung Malaysia.
“Dua pemain dari Ghana akan tiba… salah seorang daripadanya merupakan bekas pemain kebangsaan Ghana,” kata Posa.

Di samping itu, SUFC II juga akan menggunakan khidmat ketua jurulatih dari Ghana.

Beliau akan dibantu dua bekas pemain Malaysia, Manja Man dan Jamal Wasli, bekas pemain pertahanan Sarawak era 80-an yang juga bekas penolong jurulatih skuad Belia Sarawak 2019.

Sementara itu, hanya 11 pemain yang disenaraikan daripada 155 pemain yang menjalani ujian pemilihan terbuka di Stadium Negeri Ahad dan Isnin lalu.

Mereka akan berlatih di Selangor selepas ini, iaitu pangkalan pasukan SUFC II sepanjang musim 2020.

Namun jika menunjukkan prestasi cemerlang dalam lima hingga enam perlawanan, maka mereka akan kembali ke Kuching sebagai gelanggang utama.

Menurut Posa walaupun sebagai pasukan feeder, namun pihak pengurusan mengambil serius pasukan SUFC II.

“Kami mahu membentuk sebuah pasukan yang benar-benar mantap dengan kehadiran pemain dan jurulatih import,” ujar Posa.

SUFC II merupakan jelmaan pasukan Sarawak 2019 yang tewas 3-1 kepada Kuching FA dalam saingan play-off.

Manakala pasukan utama, SUFC 1 yang akan bersaing dalam Liga Premier 2020 merupakan pasukan baharu yang terbentuk melalui pembelian lesen kelab Selangor United. SUFC 1 lebih mantap daripada SUFC II.

Sementara itu, Liga M3 2020 akan dinaik taraf dengan kehadiran 20 buah pasukan. Ia dibahagikan kepada dua kumpulan.
Ia merupakan persediaan Liga M3 yang akan memasuki era semipro pada 2021.