DARO: ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad berpuas hati dengan tahap kemajuan perlaksanaan projek berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak untuk manfaat rakyat di kawasan itu.

Safiee yang mengadakan tinjauan ke beberapa vanue projek itu mendapati perlaksanaannya sedang rancak dilakukan dan setakat ini, berjalan lancar.

Antara projek berkenaan termasuklah pembinaan Jambatan Muara Batang Lassa yang kini sedang giat dilaksanakan.

“Sudah semestinya, apabila siap nanti akan memberi manfaat besar kepada rakyat dalam tempoh jangka panjang.

“Begitu juga Medan Selera Daro, perlaksanaannya kini sudah 80 peratus siap. Walaupun ada berlaku sedikit kelewatan dalam aspek utiliti kerana terpaksa mengalih tiang telekom, elektrik dan sebagainya tetapi sejak perlaksanaannya berjalan licin. Pihak kontraktor berusaha sebaik mungkin untuk menyiapnya projek ini,” katanya selepas mengunjungi rakyat sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Daro, semalam.

Beliau berkata, fasa pertama yang dijangka siap sepenuhnya pada Mac depan disusuli dengan kerja menaiktaraf kemudahan sampingan bagi menjadikan tapak tersebut sebagai lokasi tumpuan ramai.

Sehubungan itu katanya, peruntukan RTP sebanyak RM250,000 digunakan sebagai kos tambahan bagi tujuan berkenaan.

“Antaranya ialah memasang jubin dan pentas mini untuk pelbagai aktiviti hiburan seperti karaoke, busking, bermukun dan lain-lain lagi.

Di sini belia Daro boleh mengasah bakat mereka dalam bidang seni di samping mempromosikan budaya tempatan kepada pengunjung luar.

Menyentuh mengenai pembinaan klinik kesihatan Daro yang baharu, Safiee menjelaskan, kerja-kerja menembok tanah bagi tapak kemudahan itu juga sedang giat dilaksanakan.

Menurutnya, fasa kedua yang meliputi pembinaan bangunan bermula selepas keadaan tanah menjadi stabil dan tempoh tanggungan kecacatan bagi kerja-kerja tanah di bawah fasa satu selesai.

“Usaha kerajaan ini bakal menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih baik kepada orang ramai, selain memudahkan akses perubatan kepada pesakit, terutamanya penduduk pedalaman.

“Apabila siap sepenuhnya, klinik yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden ini bakal menyediakan perkhidmatan kepada lebih 30,000 penduduk,” jelasnya.

Mengulas lanjut, fasa kedua pembinaan Dewan Masyarakat Daro kini sudahpun bermula selepas fasa pertamanya siap baru-baru ini.

Fasa kedua itu katanya, meliputi kerja memasang pagar dan prasarana lain supaya aktiviti di luar dewan dapat dilaksanakan.

“Projek yang dijangka siap pada Februari ini bakal lebih keselesaan kepada masyarakat setempat. Dewan ini bukan sahaja lebih moden dan selesa tetapi juga dilengkapi dengan penghawa dingin, sistem bunyi. kerusi meja dan sebagainya.

“Ia bakal dibuka kepada orang awam tidak lama lagi. Mungkin ada sedikit bayaran untuk penyelenggaraan dan bil-bil utilti.

“Menyentuh tentang projek membina masjid daerah Daro pula, pelaksanaannya juga mengikut jadual malah mungkin dapat disiapkan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.

Sehubungan itu, saya berharap semua pihak memberikan kerjasama agar semua projek ini dapat dilaksanakan lebih dengan sempurna,” ujarnya.
End/2