310,000 sokong petisyen kekalkan Maszlee

KUCHING: Petisyen mendesak Dr Maszlee Malik dikekalkan sebagai Menteri Pendidikan Malaysia mendapat sambutan hangat, malam tadi. Dilancarkan oleh individu yang dikenali sebagai Tuah Kencana dalam Change.org iaitu sebuah laman sesawang petisyen antarabangsa.

Topik popular dari petisyen Change.org adalah keadilan ekonomi dan jenayah, hak asasi manusia, pendidikan, perlindungan alam sekitar, hak-hak haiwan, kesihatan, dan makanan yang berkekalan. Dalam petisyen yang dimuat naik oleh Tuah Kencana bertajuk Kekalkan YB Maszlee Sebagai Menteri Pendidikan Malaysia #SupportMaszlee dengan menyasarkan 150,000 tanda tangan daripada netizen.

Petisyen tersebut dimuat naik kira-kira jam lima petang semalam oleh Tuah Kencana, selepas Dr Maszlee mengumumkan meletak jawatan.

“YB Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan Malaysia telah berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif yang telah terbukti memberi manfaat kepada pelajar, guru dan masyarakat. “KPM di bawah YB kemudian telah bersikap telus dengan segala inisiatif dan progres usaha-usaha reformasi pendidikan,” petik petisyen tersebut.

Netizen diberi pilihan untuk memilih, apakah sumbangan Dr Maszlee sepanjang tempoh menerajui KPM? Antara pilihan diberikan ialah Sifar Sekolah Daif, Program Sarapan Pagi Percuma, Program Pertukaran Guru “Suka Sama Suka”, Penambahbaikan Pendidikan Untuk Pelajar OKU, Perkhidmatan Internet Kelajuan Tinggi, Peningkatan Program TVET, Menjaga Kebajikan Guru Guru.

Menurut Tuah, segala inisiatif Dr Maszlee telah dibayangi dengan laporan negatif yang telah disensasikan oleh pihak yang berkepentingan. “Keputusan meletak jawatan adalah satu kehilangan besar buat negara. Mewakili kumpulan masyarakat, kami memohon agar YB Perdana Menteri sebagai negarawan terulung untuk mengembalikan YB Maszlee Malik untuk menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pendidikan Malaysia,” kata Tuah lagi.

Sehingga tengah malam tadi, hampir 310,000 orang menandatangani petisyen tersebut. Sementara itu, tinjauan Malaysiakini mendapati 16 peratus pembaca suka kepada Dr Maszlee daripada 5,197 responden pada 31 Mac 2019.

Suara Sarawak