Britain jamin kerjasama bangunkan ART

KUCHING: Pesuruhjaya Tinggi Britain Charles Hay berharap syarikat dari Sarawak dapat bekerjasama dengan Britain terutamanya dalam pembangunan sektor pengangkutan di negeri ini.

“Saya sangat berminat dengan cadangan Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan sistem Aliran Transit Autonomous (ART) dan penggunaan sumber hidrogen untuk pengangkutan awam di Sarawak.

“Harapan saya agar Sarawak dan Britain dapat bekerjasama merealisasikan projek tersebut atas jaminan syarikat Britain memiliki pengalaman luas di peringkat dunia dalam pembangunan sektor pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melakukan kunjungan hormat kepada Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin di Wisma Baitulmakmur, di sini semalam.

Kunjungan hormat itu turut membincangkan peluang perniagaan antara syarikat dan usahawan British melibatkan infrastruktur sektor pengangkutan di negeri ini.

Jelasnya lagi, Sarawak juga dapat mempelajari konsep bandar pintar yang terdapat di Britain. “Ia boleh dijadikan model, terutamanya dalam pengurusan trafik bandar yang lebih efisien,” katanya.

Timbalan Pengarah Jabatan Perdagangan Antarabangsa Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Britain (Malaysia), Clifford Bedd, Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan British Malaysia Jennifer Lopez dan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Buckland Bangik turut hadir.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak