Di sebalik tahun 2020?
Rudi Affendi Khalik

HARI ini, kita berada di tahun baharu. Tahun 2020 yang suatu ketika dahulu pernah disasarkan sebagai detik Malaysia untuk berstatus maju. Ironinya, yang menggagaskan impian tersebut ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Dan beliau kembali memegang jawatan tersebut ketika kita melangkah ke hari ini.

Untuk rekod, beliau menggagaskan Wawasan 2020 pada tahun 1991 dalam satu majlis makan malam. Secara peribadi, Wawasan 2020 amat dekad di hati saya kerana ia merupakan isu yang saya tulis ketika di tingkatan empat, yang kemudian meletakkan saya sebagai salah seorang pemenang Pertandingan Menulis Esei Jabatan Penerangan Sarawak. Ia merupakan detik permulaan untuk saya bergelar penulis.

Wawasan 2020

Biarpun Wawasan 2020 gagal dicapai, secara realitinya ia satu wawasan yang baik dan praktikal. Sayangnya, ia sukar dicapai kerana pimpinan di Malaysia lebih gemar bermain politik daripada bersama-sama menjayakan agenda penting ini. Jika bersungguh melaksanakan agenda tersebut, Malaysia sudah pasti bergelar negara maju dengan acuannya sendiri.

Antara yang paling penting dalam wawasan tersebut termasuklah keupayaan mewujudkan bangsa Malaysia yang makmur dan harmoni, serta memiliki kekayaan yang adil dan sama rata. Sarawak dilihat lebih praktikal dalam hal ini apabila menyasarkan 2030 untuk mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi. Tidak mustahil impian itu akan dicapai kerana ketika ini Sarawak sedang berada di landasan yang tepat terutama dari aspek kesalinghubungan.

Lebuh Raya Pan Borneo dijangka siap dalam tempoh 48 bulan manakala Jalan Pesisir dan Laluan Utama Kedua, yang dilengkapi dengan jambatan-jambatan merentasi sungai telah mula dibina. Ini membayangkan usaha untuk mengalihkan pembangunan dan kekayaan ekonomi Sarawak ke kawasan luar bandar kini sedang rancak berlaku.

Berkaitan dengan ekonomi digital pula, pelbagai projek sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri baik dari aspek mikro mahupun makro. Malah 300 menara telekomunikasi dirancang dibina pada tahun ini bagi membolehkan seluruh Sarawak memiliki akses Internet, selain memperbanyakkan hub inisiatif dan inovasi kampung digital.

Insiatif Baharu

Tahun 2020, menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan menyaksikan pelbagai inisiatif baharu dilaksanakan di negeri ini. Ketika membentangkan Belanjawan Negeri pada November lalu, beliau mengumumkan pemberian one-off sebanyak RM450 kepada setiap ibu yang bersalin.

Pemberian yang bermula pada hari ini adalah tambahan kepada insentif RM1,000 yang diberikan kepada setiap bayi baharu lahir di bawah Endowment Fund Sarawak yang diperkenalkan pada tahun lalu. Pada tahun ini juga, Kerajaan Sarawak akan menyediakan bas sekolah percuma hop-off yang akan bermula di Kuching, sebelum diikuti oleh bandar-bandar yang lain.

Bagi golongan usahawan kecil dan sederhana pula, bantuan kewangan RM30 juta akan disalurkan kepada mereka menerusi Skim Kredit Mikro manakala RM30 juta disediakan sebagai bantuan kepada graduan-graduan anak Sarawak yang bermasalah untuk membayar kembali pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

Untuk kemakmuran rakyatnya, tahun ini Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM40 juta untuk pelaksanaan Program Air Percuma bagi RM5 pertama bil air yang akan memanfaatkan 600,000 isi rumah, selain caj penyambungan elektrik sehingga RM5,000 secara percuma kepada setiap pemilik rumah baharu di Sarawak.

Secara kesimpulan, tahun baharu ini menjanjikan pembangunan yang lebih baik untuk segenap lapisan rakyat Sarawak. Ia membayangkan negeri ini lebih makmur, lebih membangun, dengan perancangan ekonomi lebih mantap, meski iklim ekonomi serantau agak terjejas.

Ia memberi ruang kepada pelaburan yang lebih besar untuk negeri ini, melebihi apa yang diperoleh pada tahun 2019. Tentunya ia akan membawa kemakmuran yang lebih, terutama dari aspek peluang pekerjaan dan peluang niaga. Namun yang paling ditunggu-tunggu pada tahun ini ialah pilihan raya negeri, yang berdasarkan ramalan banyak pihak akan berlaku sekitar April hingga September.

Pilihan Raya Negeri 2020?

Kali terakhir Sarawak mengadakan pilihan raya adalah pada 2016, dan parti BN Sarawak pimpinan Pehin Sri Adenan Satem menang 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. Selepas empat tahun banyak perubahan telah berlaku, termasuk jawatan Ketua Menteri kini digalas Abang Johari.

Justeru pilihan raya ini dilihat amat penting kerana ia merupakan mandat penting rakyat kepada Abang Johari. Iklim politik yang berubah di seluruh negara ketika ini juga menyebabkan tumpuan pasti terarah kepada Sarawak. Biarpun Sarawak dilihat sebagai negeri yang terlalu liat untuk ditumbangkan, PH pasti menggunakan sepenuhnya jentera Kerajaan Persekutuan untuk mencipta kejutan.

Ketika ini, umum mengetahui bahawa Kerajaan Persekutuan dalam keadaan tidak stabil, manakala Abang Johari pula sedang membina kekuatan dengan pelbagai projek yang diusahakan selain pengenalan beberapa inisiatif menarik. Justeru rakyat kini tertunggu-tunggu apakah dalam tempoh 365 hari ini, akan berlangsung ‘hari penting’ ini.

Secara realitinya, masing-masing parti politik telah bersedia, manakala darjah keterujaan rakyat semakin tinggi untuk menunaikan tanggungjawab mereka. Yang pasti hari ini adalah permulaan baharu. Dan sama-sama kita mendoakan negeri ini terus sejahtera, makmur dan kukuh ekonominya.

Suara Sarawak