Hasil karya anak Sarawak berjaya tersenarai calon pendek anugerah Oscar

KUCHING: Filem Dokumentari bertajuk St Louis Superman, yang dihasilkan oleh anak Sarawak Cheyenne Tan dan Teng Poh Si dari Pulau Pinang hari ini telah berjaya dicalonkan antara lima filem untuk anugerah Oscar bagi Subjek Pendek Dokumentari Terbaik.

Dokumentari berdurasi selama 25 minit itu telah terpilih dari sekumpulan 96 dokumentari yang dipertimbangkan untuk kategori itu pada sebelum ini.

Filem Dokumentari St Louis Superman, yang diarahkan oleh Smriti Mundhra dan Sami Khan ini mengisahkan perjalanan Franks Jr, seorang aktivis dan rapper yang telah berjaya di Dewan Perwakilan Missouri pada tahun 2016.

Frank terinspirasi untuk memasuki dunia politik setelah berlakunya insiden tembakan melibatkan remaja Afrika-Amerika yang tidak bersenjata, Michael Brown Jr, oleh seorang pegawai Polis berkulit putih pada tahun 2014 di Ferguson, Missouri, berdekatan tempat tinggal Franks.

Frank turut berdepan dengan pelbagai cabaran dan trauma mental dalam misinya melakukan perubahan ke atas komunitinya sebagai wakil Missouri.

Antara empat filem yang turut sama tercalon bagi kategori tersebut ialah In The Absence, Learning to Skateboard in a Warzone (If You’re a Girl), Life Overtakes Me, dan Walk Run Cha Cha.

Bagi keseluruhan pencalonan Oscar tahun ini filem Joker, Irish man dan Parasite telah mendahului senarai calon.

Majlis penyampaian anugerah filem berprestij itu akan berlangsung pada 9 Feb ini bertempat di Dolby Theatre, Hollywood, Los Angeles, California. 

Suara Sarawak