Indonesia kerah jet, kapal perang ke perairan Nanuta

JAKARTA: Indonesia mengerahkan jet pejuang dan kapal perang untuk meronda sekitar perairan berhampiran kepulauan di Laut China Selatan, kata tentera pada Rabu, dalam ketegangan yang terbaru dengan Beijing selepas pertikaian diplomatik berhubung “pencerobohan’ kapal China.

Presiden Joko Widodo juga menuju ke perairan yang kaya sumber perikanan di sekitar kepulauan Natuna itu pada Rabu, yang bersempadan dengan Laut China Selatan. Sebahagian besar kawasan perairan itu dituntut oleh China, dan juga dituntut oleh negara Asia Tenggara lain termasuk Vietnam, Filipina dan Malaysia.

Tentera Indonesia berkata ia mengerahkan lapan kapal perang dan empat jet pejuang sebelum lawatan Jokowi dalam usaha untuk menegakkan kedaulatan negara di rantau itu. Sebuah kapal pengawal pantai China dikesan berhampiran kepulauan itu pada Rabu, kata Indonesia.

“Kami menempatkan lapan kapal perang,” kata jurucakap Tentera Laut Fajar Tri Rohadi. Angkatan udara mengesahkan kepada wartawan AFP bahawa jet pejuang juga dikerahkan.

Ia menyusul pengerahan sekitar 600 anggota dari tentera laut, darat dan udara ke Natuna apabila tentera melancarkan rondaan runtin untuk keselamatan di kawasan tersebut berikutan kehadiran kapal asing di perairan Indonesia.

Jakarta berkata ia juga akan menghantar beratus-ratus nelayan ke kawasan itu untuk memerhatikan kehadiran kapal asing.

Langkah itu diambil setelah Indonesia memanggil duta besar China minggu lalu dan mengemukakan protes keras tentang kapal pengawal pantai China, yang mengiringi bot nelayan China, memasuki perairan dekat pesisir kepulauan Natuna pada pertengahan Disember.

Beijing bertindak balas dengan menegaskan bahawa ia mempunyai “hak bersejarah” di rantau tersebut dan bot nelayannya menjalankan aktiviti “sah dan wajar” di situ.

Minggu ini, kementerian luar negeri China berkata pertikaian itu ditangani secara diplomatik. – AFP

Suara Sarawak