Landskap, ekonomi Limbang berubah

LIMBANG: Kerja-kerja membina jejantas dan baik pulih Pasar Tamu Limbang berjalan lancar dan
mengikut jadual yang ditetapkan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah puas hati dengan perkembangan pembinaan yang sedang dilaksanakan.

“Kontraktor yang dilantik menjalankan kerja-kerja pembinaan serta baik pulih dengan baik.

“Jika momentum ini berterusan, insya-Allah ia akan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,”
katanya kepada media semasa program turun padang di Tamu Limbang, semalam.

Hasbi menjelaskan, pembangunan yang dilaksanakan akan memberi impak besar bukan sahaja kepada landskap pekan Limbang, malah ekonomi masyarakat setempat.

Menurutnya, penambahbaikan serta pembinaan jejantas itu akan memberi kemudahan kepada peniaga serta pengunjung yang datang ke pasar tamu itu.

“Saya yakin dengan siapnya kemudahan itu kelak, ia akan merancakkan lagi sektor ekonomi di kawasan Limbang.

“Selain itu, ia juga akan mengubah landskap pekan Limbang.

Ia akan menjadi lebih menarik dan pada masa yang sama menjadi tarikan pelancong luar,” ujarnya.

Suara Sarawak