Lapan projek penambahbaikan sistem perparitan di Bintulu

BINTULU: Kerajaan Sarawak bersetuju memperuntukkan sejumlah RM50 juta bagi melaksanakan lapan projek penambahbaikan sistem perparitan di kawasan yang sering terjejas banjir apabila cuaca hujan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata lapan projek membabitkan kawasan di Jalan Sibiyu, Nyabau Height, Sungai Sepegang Bintulu, pembinaan kolam penahanan air di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, termasuk Kampung Assyakirin dan Kampung Kemunting.

Sehubungan itu, katanya, satu jawatankuasa khas juga ditubuhkan bagi menangani masalah banjir di Bintulu yang mana akan dipengerusikan timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Sri Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki dengan dianggotai pihak Lembaga Kemajuan Bintulu(BDA), Unit Perancang Ekonomi Jabatan Ketua Menteri serta Jabatan Saliran dan Pengairan Sarawak.

Menurut beliau lagi, Jabatan Saliran dan Pengairan juga akan bertindak selaku agensi pelaksana projek penambahbaikan sistem perparitan terbabit termasuk mendalamkan Sungai Sebiew dan Sungai Sebatang.

TINJAU…Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari mendengar penerangan daripada Timbalan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu, Abdullah Mohd Sheriff berkaitan sistem perparitan Kampung Assyakirin di Bintulu.

Terdahulu, Abang Jo menghadiri mesyuarat khas bersama jabatan dan agensi berkaitan bagi membincang serta mengenal pasti pendekatan terbaik dalam menangani masalah banjir di Bintulu bertempat di Wisma Bintulu di sini.

Pada mesyuarat tersebut, Ketua Menteri turut bersetuju memperuntukkan sejumlah RM200 juta bagi pelaksanaan projek mendalamkan Sungai Sebiew dan Sungai Sebatang yang mana akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12(RMK-12).

Abang Jo, kemudiannya, meluangkan masa meninjau keadaan sistem perparitan di Kampung Assyakirin dan Kampung Kemunting sebelum berangkat pulang ke Kuching.

APA KHABAR….Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari bertanyakan khabar kepada golongan wanita semasa meninjau keadaan sistem perparitan di Kampung Assyakirin, Bintulu.
TURUN PADANG….Ketua Menteri Abang Johari meninjau sistem perparitan di Kampung Kemunting, Bintulu.

 

 

 

Suara Sarawak