Perompak terperangkap dalam rumah

KUCHING: Seorang perompak terperangkap ketika sedang leka mengumpul barangan yang hendak dicuri dari sebuah rumah di Taman Dahlia, Jalan Depo di sini. Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, kejadian dilaporkan sekitar jam 5.05 pagi semalam, oleh pemilik rumah terbabit selepas dimaklumkan oleh jirannya bahawa rumahnya dipecah masuk seseorang yang tidak dikenali.

Katanya, dalam kejadian sekitar jam 3 pagi itu, tiada orang di dalam rumah berkenaan kerana ia adalah untuk disewa dan tiada penyewa. Sebaik sahaja pemilik rumah mendapat tahu rumahnya dipecah masuk, pengadu pergi ke situ dan mendapati penceroboh masih berada di dalamnya memandangkan barang-barang yang hendak dicuri masih dikumpulkan di hadapan rumah.

Katanya, pemilik rumah bertindak mengunci pintu utama rumahnya itu dari luar dan seterusnya menghubungi jiran dan saudaranya. “Dia kemudian memasuki rumah itu bersama-sama tiga jiran dan saudaranya untuk menangkap suspek. “Semasa memasuki rumah, mereka mendapati suspek bersembunyi di dalam sebuah bilik stor kecil dan mengunci bilik itu dari dalam.

“Setelah berjaya dibuka, suspek keluar lalu menyerang menggunakan tukul dan senjata tajam menyebabkan salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan di kepala dan tangan,” katanya dalam kenyataan, semalam. Awang Din menjelaskan, mangsa yang cedera diserang suspek adalah seorang anggota polis yang bertugas di Batalion 11, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawa dan dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.

Manakala, katanya, suspek berusia 33 tahun itu berjaya ditangkap polis dan pelbagai peralatan pecah rumah turut dirampas daripadanya.

Beliau menambah, suspek yang cedera ketika melarikan diri dari ditangkap juga dibawa ke HUS untuk rawatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 448/324 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah dan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Suara Sarawak