RM1.5 juta laksana projek untuk rakyat Batang Lassa

SIBU: Kerajaan Sarawak memperuntukan RM1.5 juta untuk melaksanakan pelbagai projek rakyat di Batang Lassa yang terletak di bawah DUN N.43 Daro dalam tempoh tiga tahun bermula 2018 hingga 2020.

Peruntukan itu dibelanjakan untuk melaksanakan sekurang-kurangnya 14 projek termasuk menaiktaraf jalan sedia ada yang bernilai kira-kira RM200,000.

Sehubungan itu ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, perlaksanaan semua projek tersebut membuktikan Kerajaan GPS sentiasa mengambil inisiatif untuk membantu rakyat khususnya di kawasan pedalaman.

Malah katanya, pelbagai lagi projek akan dilaksanakan bagi memastikan rakyat mendapat manfaat.

“Saya ingin menegaskan kerajaan di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus menjalankan tanggungjawab membantu rakyat.

” Justeru, saya berharap rakyat terus memberikan kerjasama agar perancangan ini berjalan lancar dan dapat direalisasikan,” katanya pada majlis perasmian Jarayawara GPS peringkat Ranting Batang Nanga Lassa, semalam.

 

Safiee yang juga Ketua Cawangan Daro berkata, keperluan asas yang diperlukan rakyat seperti jalinan jalan ke jalan raya utama, rangkaian telefon , air dan elektrik sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Bagaimanapun katanya, perlaksanaan projek itu tidak akan dapat dilaksanakan tanpa sokongan rakyat.

“Kita harus dentiasa berwaspada dengan hasutan serta janji palsu pihak luar yang cuba menggugat keharmonian dan perpaduan yang sedia terjalin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak membina baharu jalan ke rumah panjang Batang Lassa bernilai (RM250,000), naiktaraf jalan Rumah Mohamadin (RM80,000) dan titian rumah panjang, Batang Lassa (RM80,000).

Pada masa yang sama Safiee turut mengumumkan sumbangan MRP RM 4,000 kepada tujuh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) rumah panjang di kawasan tersebut.

Tujuh JKKK tersebut di bawah pentadbiran daerah Sibu.

Hadir sama Pegawai Daerah Sibu, Suhaili Mohamed, Exco-exco tertinggi PBB Cawangan Daro dan ranting Batang Lassa,
Ketua-ketua Masyarakat, Tuai rumah dan lebih 400 penduduk.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak