RM500 juta bina benteng Simunjan dan Sebuyau

SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM500 juta untuk membina dan membaiki benteng di kawasan Simunjan dan Sebuyau di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, agensi berkenaan dipengerusikan Adun Asajaya merangkap Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah akan memas-
tikan projek berkenaan berjalan lancar.

“Secara keseluruhannya, sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan untuk menahan kemasukan air masin yang boleh menjejaskan tanaman petani di seluruh negeri.

“Sebanyak RM500 juta diperuntukkan di Simunjan dan Sebuyau untuk tujuan yang sama,” katanya ketika merasmikan Program Rindok Digital di Pekan Simunjan di sini, semalam.

Abang Johari menjelaskan, Simunjan dan Sebuyau amat sesuai untuk menanam kelapa dan pisang selain merancakkan aktiviti penternakan.

Bagaimanapun katanya, bagi memperoleh pengeluaran lumayan, petani perlu menggunakan kaedah baharu dengan teknologi terkini.

“Kita menyediakan dana untuk pembangunan infrastruktur dalam usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh petani.

“Namun, untuk mendapatkan hasil pengeluaran buah kelapa dan pisang lebih banyak, kita perlu menggunakan teknologi terkini seperti dron dan Internet of Things (IoT) dengan kawalan dilakukan dengan telefon pintar sahaja,”
jelasnya.

Katanya, produk makanan di negeri ini mendapat permintaan yang tinggi dari Singapura dan China terutama  elepas Kerajaan Sarawak menubuhkan Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak (Statos) di Singapura serta bekerjasama dengan Union Pay (China) untuk aplikasi pembayaran tanpa tunai, S Pay.

“Menteri Singapura telah dua kali berkunjung ke Sarawak untuk mendapatkan produk makanan dan salah satu daripadanya ialah terung asam kerana mempunyai banyak khasiat serta ikan tilapia merah dari Batang Ai.

“Negara China pula meminta kita untuk mengeksport lima kontena pisang ke Shanghai setiap hari,” ujarnya.

Abang Johari memberitahu, meskipun berbeza fahaman politik, perkembangan itu selari dengan dasar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar makanan.

Beliau menggesa agar para petani berubah mengikut peredaran teknologi kerana ia lebih memudahkan selain mampu menggandakan hasil pengeluaran produk makanan.

Suara Sarawak