Samarahan pintu masuk ekonomi pesisir

KOTA SAMARAHAN: Kota Samarahan adalah pintu masuk untuk ke jalan pesisir, kata Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg, semalam.

Menurutnya, jika kawasan tersebut mempunyai pembangunan yang berstruktur dan lebih tersusun ia juga akan memberi kesan yang baik untuk kawasan lain.

“Ia akan melimpah ke kawasan lain termasuk Sebuyau iaitu dari Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau ke Lingga dan seterusnya ke Batang Rajang.

“Ini bermakna kalau di muaranya sudah baik pasti yang lain juga akan bertambah baik,” jelasnya ketika ditemui semasa lawatan ke Kampung Pinang, di sini pada Isnin.

Tambah Abang Johari, sektor pertanian di kawasan ini juga akan dinaik taraf kerana mempunyai tanaman yang berpotensi besar seperti pisang, kelapa dan nanas.

“Yang lain, kita boleh menanam sayur mengikut sistem hidroponik dan sayur ini akan menjadi nilai tambah kepada pendapatan dalam sektor pertanian,” ujarnya lagi.

Beliau juga yakin bahawa kawasan berkenaan akan menjadi pusat industri berasaskan agro dan ia akan berkembang hingga ke kawasan Sebuyau.

“Di sini penanaman pokok kelapa perlu dipergiatkan kerana harga sebiji kelapa di pasaran luar kini mencecah RM12 sebiji. “Kita boleh eksport buah kelapa dan ia juga akan mengubah ekonomi orang kampung. Kita juga tidak bergantung kepada kelapa sawit semata-mata,” katanya.

Suara Sarawak