Sarawakku Sayang demi rakyat

Semalam, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meraikan ulang tahun ketiga sebagai Ketua Menteri Sarawak. Tiga tahun bukannya tempoh yang panjang tetapi dalam tempoh singkat itu beliau telah memperkenalkan 81 inisiatif rakyat.

Segalanya berpaksikan agenda untuk meningkatkan kualiti hidup, kesejahteraan dan kemakmuran 2.8 juta rakyat Sarawak.

Pencapaian berkenaan dapat dianggap cemerlang lebih-lebih lagi terserlah komitmen beliau untuk mengubah nasib rakyat terutama di luar bandar melalui peruntukan berbilion-bilion ringgit seperti yang terkandung dalam Belanjawan Negeri untuk 2019 dan 2020.

Segala dasar dan projek yang baik dan bermanfaat perlu difahami masyarakat yang menjadi sasaran.

Ini bukan sahaja bagi memastikan ia benar-benar difahami dan diterima oleh rakyat, tetapi bagi mengelak pihak berkepentingan daripada memutar belit maklumat berkaitan dengannya.

Ini lebih-lebih lagi memandangkan, sudah ada kecenderungan pihak tertentu termasuk pembangkang untuk mengeksploitasi isu tertentu demi kepentingan politik mereka.

Propaganda dan naratif politik pembangkang yang bertujuan untuk memutarbelitkan kenyataan perlu dikekang agar rakyat tidak terpedaya. Program ini tentu dapat digunakan untuk menyemai semangat sayang akan Sarawak dan perlunya rakyat terus menjaga dan melindungi hak dan kepentingan Sarawak.

Justeru, dalam konteks inilah program baharu yang dilancarkan hari ini oleh Abang Johari dapat disifatkan kena pada waktunya.

Program Sarawakku Sayang berteraskan konsep menjaga dan memelihara Sarawak akan mengetengahkan kepada rakyat inisiatif Kerajaan Sarawak yang telah dilaksanakan sepanjang tiga tahun ini. Ia bermula dengan kawasan Samarahan.

Samarahan ialah bukti terbaik bagaimana di bawah perancangan yang betul dan teliti dengan wawasan yang tajam, sesuatu kawasan dapat ditransformasikan sehingga dapat mengubah nasib dan kualiti hidup penduduk di kawasan terbabit.

Sarawakku Sayang bakal menarik perhatian rakyat di seluruh pelosok Sarawak dengan pelbagai aktiviti menarik. Program ini merupakan langkah Kerajaan Sarawak untuk mendampingi rakyat di peringkat akar umbi. Orang awam juga akan didedahkan kepada pelbagai inisiatif Ketua Menteri dan fasa perkembangan dalam pembangunan yang dijalankan Kerajaan Sarawak bagi meningkatkan sosioekonomi dan taraf hidup rakyat.

Kaedah turun padang ini relevan untuk menerangkan segala perubahan dan inisiatif yang telah diperkenalkan Kerajaan Sarawak di bawah kepemimpinan Abang Johari. Kerajaan tidak boleh mengambil mudah dengan mengandaikan bahawa komunikasi melalui saluran biasa sudah memadai.

Bagi penduduk di luar bandar terutamanya mereka masih mendambakan pendekatan bersifat sentuhan kerakyatan. Dengan Ketua Menteri sendiri dikenali sebagai pemimpin yang sentiasa mendampingi rakyat, maka Sarawakku Sayang dapat dijadikan sebagai platform terbaik oleh beliau untuk terus berada di tengah-tengah rakyat.

Yang menarik, program Sarawakku Sayang akan bertindak sebagai pusat sehenti bagi pengunjung dan rakyat mendapatkan akses secara langsung berkaitan perkhidmatan, produk, nasihat dan aktiviti-aktiviti lain. Diharapkan mereka tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi pameran dan melibatkan diri dalam segala aktiviti yang dianjurkan.

Hal ini kerana pameran daripada jabatan dan agensi kerajaan akan diadakan. Juga, diadakan persembahan pentas oleh artis terkemuka tanah air. Program Sarawakku Sayang akan diperluaskan ke beberapa bahagian di Sarawak pada tahun ini bagi mendekatkan Kerajaan Sarawak dengan rakyat.

Sesungguhnya, Abang Johari telah memperkenalkan banyak inisiatif yang menjadi batu tanda penting di bawah kepemimpinan beliau.

Pencapaian seseorang pemimpin sebenarnya diukur dari segi dasar dan projek yang mendatangkan faedah kepada rakyat. Program Sarawakku Sayang akan menampilkan dasar, projek dan inisiatf beliau.

Suara Sarawak