Sembunyi dadah di dalam hampagas

SIBU: Taktik menyembunyikan dadah jenis kanabis atau ganja seberat setengah kilogram di dalam mesin hampagas akhirnya dihidu pasukan polis di sebuah rumah di Jalan Ulu Sungai Merah pada petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, hasil rampasan berkenaan, seorang penganggur lelaki berusia 37 tahun dicekup.

“Anggota kita menyerbu rumah saspek dalam satu operasi sekitar jam 1.30 petang dan menemui ketulan mampat dedaun kering yang disyaki dadah jenis ganja (canabis) di dalam mesin tersebut yang dipercayai disembunyikan saspek.

“Pegawai polis dari Jabatan Narkotik yang diketuai oleh Inspektor Tengku Mohd Faizal Tengku Yeng menemui satu ketulan daun kering dipercayai ganja seberat 508.68 gram bernilai RM1,000 di dalam mesin yang diletakkan tepi pintu ruang tamu,” katanya pada sidang media di IPD Sibu sebentar tadi.

Menurutnya lagi, ganja itu dirampas dan saspek ditangkap mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suara Sarawak