Setelah tiga tahun Tok Nan pergi

HARI ini, genap tiga tahun Pehin Sri Adenan Satem meninggalkan kita. Pemergian beliau amat mengejutkan ketika itu, biarpun ramai yang tahu sakit yang dialaminya. Rakyat meratapi kematiannya, kerana hingga ke saat kematiannya, beliau mengutamakan Sarawak.

Malah beliau sendiri pernah berkata, beliau diberi peluang hidup kali kedua, untuk menabur jasa bakti kepada ibu pertiwi.

Penulis masih mengingati betapa beliau menggagahkan diri untuk mempengerusikan mesyuarat parti PBB terakhirnya, yang dilangsungkan di Hotel Riverside Majestic Kuching.

Beliau menuju ke dewan mesyuarat dengan berjalan lemah, dan cukup perlahan. Malah ketika mempengerusikan sidang media, beliau bersuara lemah dan kurang jelas.Namun gagah menjawab soalan.

Penulis juga bertuah kerana berada dalam kelompok wartawan terakhir yang mewawancarainya ketika beliau sihat.

Beliau menjawab soalan saya secara bertalu-talu, dengan harapan kami memahami kenapa beliau mahukan isu Perjanjian Malaysia 1963 ditangani segera ketika itu.Ya, wawancara terakhir itu berlangsung secara terbuka dan beliau tidak menyembunyikan apa-apa.

Tokoh yang berbeza

Tok Nan ketika muda, ketika sebagai menteri dan ketika menjawat Ketua Menteri ialah tokoh yang berbeza.

Ketika masih sihat, beliau tokoh yang amat digeruni dan tegas. Apa-apa sahaja yang beliau suruh, harus diikuti dan dilaksanakan, kata seorang menteri muda yang rapat dengannya.

Namun ketika menjadi Ketua Menteri Sarawak, perwatakannya jauh berbeza. Beliau menerima semua pandangan sebelum membuat keputusan. Malah beliau tidak gemar mendengar mana-mana individu mengata orang lain, termasuk daripada anggota keluarga sendiri.

Berada di puncak kuasa, beliau malah sentiasa membuka peluang kepada semua pihak, termasuk mereka yang pernah mengutuk, mencaci dan menghinanya. Beliau memaafkan mereka, malah memberi peluang untuk berjaya.

Ini sifat terpuji Tok Nan yang gemar kepada minuman isotonik 100 plus itu. Dikenali sebagai pemancing yang tegar, Tok Nan juga berusaha menyembunyikan sakit yang dialaminya daripada umum. Sebelum mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 1 Mac 2014, beliau pernah dibebani sakit jantung yang kronik.

Malah bukan rahsia bahawa beliau menggunakan pendetik jantung setiap masa ketika itu. Pernah berada dalam keadaan kritikal, beliau kemudian kembali sihat, dan ketika inilah beliau mengambil keputusan menerima cadangan Tun Abdul Taib Mahmud untuk mengetuai jentera pentadbiran negeri.

Beliau telah dipujuk beberapa kali oleh Tun Abdul Taib, namun enggan menerima tugasan yang diberikan, hinggalah Tun Abdul Taib meminta isterinya, Datuk Amar Jamilah Anu untuk memujuk.

Dan difahamkan, keputusan muktamad mengenainya dibuat di Makkah, ketika Tok Nan menunaikan umrah, dan secara kebetulan, Tun Abdul Taib turut berada di kota suci tersebut.

Penulis berjaya memperoleh gambar sulit itu dan menulis tentang Perjanjian Makkah, yang membawa kepada berita eksklusif peralihan kuasa di Sarawak.

Tok Nan dan Media

Bagi pengamal media, ketika Tok Nan menjadi Ketua Menteri Sarawak, menjadi urusan yang cukup sukar dan menggerunkan apabila diminta untuk mendapatkan reaksi Tok Nan.

Sebabnya, jika wartawan yang terlibat tidak bersedia, mereka pasti terperangkap dengan aksi dan reaksinya. Beliau akan bertanya semula soalan yang terbabit jika tidak jelas, dan yang paling menarik, mampu memberi jawapan ringkas, ya atau tidak, tanpa mengulas panjang.

Jawapannya dengan nada yang tegas akan mematikan soalan lanjutan, terutama wartawan baharu yang tidak bijak melontar soalan tambahan. Itu kehebatan Tok Nan yang pada usia mudanya pernah menjadi wartawan.

Sepanjang tiga tahun menjadi Ketua Menteri, Tok Nan berjaya menarik perhatian rakyat berbilang bangsa dan agama untuk menyukainya.

Malah laungan “oohhhaaaa” dan “youyouuu” yang dipopularkannya menjadi tular di mana-mana. Malah setiap kali memulakan ucapan, seruan “oohhhaaa” dan “youyouuu”nya akan dijawab oleh rakyat jelata.

Situasi ucapan terus berubah selepas itu. Tok Nan juga dikenali sebagai pemimpin yang enggan membaca teks yang disediakan penganjur. Malah acap kali beliau hanya berterima kasih kepada mereka yang menyediakan teks ucapannya, kerana beliau senang berucap dari hati.

Tok Jak Jaku Aku

Tok Nan juga popular dengan perkataan “Tok Jak Jaku Aku” atau “Ini sahaja ucapan saya” sebelum menamatkan ucapan. Dan paling menarik, dalam kebanyakan ucapannya, beliau mengetepikan terus ungkapan salutasi kepada penganjur dan kenamaan yang lain. Gemar berseloroh dalam ucapannya, termasuk mengusik isterinya, Datuk Amar Jamilah, Tok Nan juga gemar menceritakan anekdot perjalanan hidupnya.

Untuk menggambarkan perpaduan, beliau menceritakan tentang betapa rakyat Sarawak boleh duduk sama-sama, makan sama-sama, malah cari amoi sama-sama – ungkapan yang terus melekat hingga ke hari ini.

Beliau juga seorang yang tegas dan menggerunkan bagi penjawat awam apabila marah. Dengan wajah mencuka, beliau “panas” dengan kerugian yang dialami oleh Kerajaan Negeri akibat kecurian balak yang berleluasa.

Beliau bukan sahaja memberi amaran kepada pemegang lesen yang mencuri balak di luar kawasan sempadan yang dibenarkan, malah mengambil tindakan tegas terhadap pelakunya.

Tok Nan turut memberi ‘lampu hijau’ kepada SPRM mengambil tindakan terhadap pencuri hasil hutan negeri ini, baik yang melibatkan penjawat awam mahupun lanun balak. Secara terbuka, beliau mengasak kakitangan Jabatan Hutan Sarawak ketika itu: “Ada mata, buta; ada telinga, tuli, ada mulut – bisu” dan ungkapan itu diulanginya dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri selepas itu.

Kesannya, perang terhadap lanun balak berlangsung rancak, hingga akhirnya, jumlah aktiviti mencuri balak berkurangan secara drastik.

Popular kerana pendekatan

Tok Nan sebenarnya popular kerana pendekatannya yang merakyat. Beliau mengutamakan rakyat dalam apa-apa jua keputusan yang dibuat bersama-sama pasukannya.

Antaranya, beliau memastikan Projek Lebuh Raya Pan Borneo bermula, manakala segala tol yang dikenakan pada waktu itu dihapuskan.

Malah dalam ucapan sewaktu upacara pecah tanah Projek Pan Borneo yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika itu, beliau berseloroh tidak mahu menjadikan isu tol bertukar menjadi ‘tolol’.

Ketika pemerintahannya juga, Tok Nan mengusulkan agar tarif elektrik Sarawak dikurangkan dan ketika itu menjadi antara yang termurah di negara ini, manakala bayaran untuk feri secara perlahan-lahan dimansuhkan.

Ketika era beliau jugalah usaha mendapat autonomi dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan, yang kemudian dilanjutkan dengan tuntutan terhadap hak-hak Sarawak yang terhakis di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Malah beliau memulakan langkah bertegas dengan Petronas apabila syarikat tersebut mengetepikan peranan vendor dan kakitangan dari Sarawak, hingga Petronas terpaksa mengkaji semula dasar dan prosedurnya.

Dan yang paling diingati, tentulah ketegasannya menghalang kemasukan ahli politik dan penghasut yang dikhuatiri menghancurkan perpaduan rakyat di negeri ini.

Pemergian Tok Nan

Kerana itulah pemergian Tok Nan pada tengah hari, tiga tahun lalu amat dirasai semua.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 72 tahun di sisi isteri tercinta, sehari selepas mengadakan pertemuan dengan kedua-dua timbalannya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Kepada mereka beliau sempat bertanya khabar politik di kedai kopi, malah mahu kedua-duanya menjaga negeri Sarawak dan menyelesaikan isu tanah pemakai menoa pulau galau yang hangat ketika itu.

Benarlah kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Tok Nan pergi sebagai seorang negarawan yang meninggalkan aura yang cukup besar.

Rakyat tanpa segan silu menangisi pemergiannya, malah ketika jenazahnya dibawa pulang dari hospital dan dibawa ke pusara, ribuan rakyat memberi hormat termasuk di tepi jalan.

Dan paling mengesankan, selama lebih tiga bulan pusaranya tidak sunyi dikunjungi oleh segenap lapisan rakyat, termasuk pada Hari Raya Aidilfitri.

Kerana itu tidak hairanlah di sebalik ketegasan, suara dan muka seriusnya, Tok Nan terus diingati dan dirindui, baik kawan, lawan dan rakyat. Al-Fatihah.

Suara Sarawak