Terus lindungi spesies terancam

KUCHING: Tabung Alam Malaysia (WWF) meneruskan visi perbadanan itu yang mengutamakan perlindungan terhadap alam sekitar termasuk beberapa spesies haiwan terlindung di negeri ini.

Pengurus Projek WWF Sarawak Cynthia Chin berkata, tindakan itu diteruskan kerana pentingnya perlindungan terhadap habitat itu yang memberi banyak manfaat kepada masayarakat.

“Di Sarawak, kami akan bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan untuk menggapai objektif yang ditetapkan oleh WWF sejak awal penubuhannya.

“Pada tahun ini, kami merancang beberapa pelaksanaan program berkaitan perlindungan habitat berkaitan supaya tidak pupus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi Jom Sarapan antara ahli WWF bersama media di Feast Furious Café Jalan Abell, semalam.

Menurutnya, beberapa program dijalankan oleh WWF seperti melukis mural di sekolah termasuk SMK Green Road dan Sekolah Menengah Chung Hua No. 3 pada tahun lalu.

“Kami mencadangkan peserta untuk menyerlahkan lukisan civet atau musang di dinding mural untuk tujuan menghargai karnivor kecil tersebut di Sarawak.

“Objektif program adalah untuk mewujudkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya memelihara hidupan liar yang ada di Sarawak,” tambahnya lagi.

Beliau berharap agar orang ramai turut memberikan kerjasama kepada WWF dalam usaha untuk melindungi habitat yang terlindung di negeri ini.

“Masyarakat perlu sedar bahawa haiwan-haiwan ini mempunyai hak dalam menjalani kehidupan mereka yang perlu kita hormati,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak