KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menggagalkan cubaan seludup 1000 karton minuman keras jenis Samsu tidak lulus kastam di pelabuhan Senari, Khamis lalu.

Pengarahnya, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, aktiviti penyeludupan terbongkar setelah pihaknya membuat pemeriksaan ke atas sebuah kontena hasil barangan import daripada luar negara di lokasi berkenaan.

Menurutnya, pihak agen barangan tersebut dipercayai telah menggunakan lesen import minuman keras tidak sah terhadap pengikraran konsaimen terbabit.

“Hasil pemeriksaan terhadap dokumen pengimportan mendapati lesen yang digunakan barangan tersebut tidak menepati syarat dalam perintah kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

“Kesemua 1000 karton Samsu jenis Chu Yeh Ching Chiew itu bernilai RM129,679.20 manakala jumlah keseluruhan termasuk cukai berjumlah RM116,871.72,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua barangan terbabit telah disita dan dibawa ke stor Penguatkuasaan Demak Laut untuk simpan selamat dan siasatan lanjut.

Dedahnya, kontena barangan terbabit dipercayai baru sahaja hadir ke pelabuhan Senari daripada luar negara.

Jelasnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau dipenjara tidak melebihi lima tahun,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Sharifah turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larang untuk menyalurkan kepada pihaknya dengan segera.

RAMPAS… 1000 karton Samsu bernilai RM129,679.20 berjaya dirampas hasil pemeriksaan sebuah kontena yang datang dari negara luar