KUCHING: Lapan lagi kes disyaki Koronavirus 2019-nCoV direkodkan di Sarawak yang kini masih menunggu ujian sampel darah, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, lapan kes yang disyaki itu ialah enam di Kuching manakala masing-masing satu di Bintulu dan Miri.

“Di Kuching, lima merupakan warga tempatan sementara seorang adalah rakyat China.

“Setakat 3 Februari lalu, sebanyak 32 kes disyaki dijangkiti novel koronavirus apabila 24 daripadanya adalah negatif sementara lapan masih menunggu keputusan sampel darah,” katanya sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat keempat JPBN di Wisma Bapa Malaysia di sini, sebentar tadi.