LIMBANG: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi bayangan Pilihan Raya Negeri Ke-12 berkemungkinan akan diadakan lebih awal daripada tarikhnya.

Ketua Menteri turut memberi gambaran seperti bersedia untuk waktu sembahyang dan menunggu beduk dipalu – begitu juga dengan PRN. “Saya tidak tahu bila beduk itu akan dipalu.

Apabila tiba waktunya sampai, kita bersedia,” katanya semasa melancarkan GPS Zon 15B Limbang di sini, semalam. Abang Johari yang juga Pengerusi GPS memberi jaminan bahawa parti itu masih berupaya untuk menjaga negeri ini.

“Saya yakin, hanya pemimpin GPS tahu apakah inspirasi dan hasrat rakyat. Kita menjalankan tanggungjawab mentransformasikan negeri ini dengan damai dan harmoni,” katanya.

Sebagai rekod, PRN Ke-11 diadakan pada 7 Mei 2016 dan tempoh akhir untuk mengadakan PRN berikutnya ialah sebelum Julai 2021. Pada PRN lepas, empat parti komponen BN memenangi 72 kerusi Dun sebelum mengumumkan keluar dari parti induk itu pada 12 Jun 2018 susulan kekalahan teruk BN pada PRU-14.

Dalam perkembangan lain Abang Johari turut berkata, Sarawak merangkumi Limbang dan Lawas akan terus dibangunkan. Katanya, sejajar dengan dasar untuk merapatkan jurang pembangunan di luar bandar, Kerajaan Sarawak menubuhkan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).

“Agensi itu akan menjalankan projek pembangunan seperti menaik taraf tebingan Sungai Limbang dan pembinaan jambatan ikonik Limbang. “Ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk membangunkan kawasan luar bandar dan seterusnya menjadikan Sarawak negeri maju 2030,” katanya.