SARIKEI: Kesungguhan Kerajaan Sarawak untuk mengubah nasib rakyat luar bandar terbukti dengan siapnya jalan kerikil sepanjang 3.9 kilometer di antara Kampung Sedi dan Sebako Pulau Bruit.

Pembinaan laluan yang dilaksana dan dipantau oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Mukah itu melibatkan kos sebanyak RM3.8 juta.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdullah Saidol berkata, pembinaan fasa kedua jalan terbabit dijangka bermula bulan depan.

Kerja itu katanya, melibatkan baki jarak sepanjang 1.4km (1400meter) jalan kerikil dengan kos pembinaan sebanyak RM1juta.

“Projek jalan Sedi-Sebako adalah hasil permohonan saya kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. Kita amat gembira apabila beliau meluluskannya melalui peruntukan khas kerajaan negeri.

“Fasa kedua ini dijangka siap dalam masa lapan bulan. Untuk fasa ini agensi pelaksana adalah Jabatan Perparitan dan Saliran (DID) bahagian Mukah kerana laluan 1.4km tersebut adalah jalan ban yang sebelum ini diselenggara oleh DID tetapi dinaik taraf kepada jalan utama,” katanya ketika meninjau perlaksanaan projek berkenaan hari ini.

Pada masa yang sama beliau turut menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Siap Jalan Sedi-Sebako (Fasa Pertama).

Abdullah yang juga ADUN N.42 Semop berkata, perancangan seterusnya ialah untuk menurap jalan tersebut manakala, permohonan peruntukan bagi tujuan itu sudah diajukan kepada agensi yang berkaitan.

Sejurus itu beliau sempat meninjau perlaksanaan projek jalanraya ke Mupong dari jalan utama Sibu Tanjung Manis.

“Jalan bertar sepanjang lima KM yang menelan kos sebanyak RM21.93 juta akan memberi manfaat kepada masyarakat Iban dari sembilan rumah panjang dalam kawasan N42 Semop,” ujarnya.

Beliau juga berharap perlaksanaan kedua-dua projek itu berjalan lancar dan siap cepat mengikut jadual.

Projek penting itu katanya, adalah antara beberapa projek jalan yang dipohon oleh beliau termasuk dua jambatan yang menghubungi Pulau Bruit iaitu Jambatan Batang Paloh dan Batang Lassa.

Selain itu katanya, beberapa jalan baharu juga sedang dalam proses permohonan melibatkan kawasan seperti Semareng (enam rumah panjang) dan kawasan Paloh, Kedang serta Berangan.

“Saya akan teruskan usaha bagi memastikan sistem jaringan jalan raya yang baik untuk semua kawasan penempatan dalam kawasan N42 Semop.

“Ini kerana saya sedar sistem jalan raya yang baik bukan sahaja memudahkan perjalanan tetapi juga mampu melonjakkan sosio ekonomi penduduk apabila hasil tani dan laut mereka mudah dipasarkan.

“Saya juga memberi perhatian dan kesungguhan yang sama dalam usaha untuk memastikan keperluan lain seperti bekalan elektrik dan air paip dapat dinikmati oleh semua penduduk dalam kawasan N42 Semop,” jelasnya.

Hadir sama Pegawai Daerah, Bujang Rahman Seli, Ketua Unit MRP JKR Mukah, Nathasia Sayien, Penghulu Khatib Julaihi, Ketua Kampung Sebako, Tajuddin dan Ketua Kampung Sedi Abdullah selain beberapa Pegawai JKR Bahagian serta Wakil JKKK Kampung Sedi dan Sebako.