BETONG: Masyarakat luar bandar khususnya golongan tani harus dipandu ke arah penggunaan teknologi terkini dalam sektor pertanian yang mereka usahakan selama ini.

Ketua Perkhidmatan Korporat Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) Mohamad Irtidzar Razali memberitahu, salah satu platform penting ke arah misi tersebut ialah melalui penganjuran program Rindok Digital @ Pusa yang akan menyingkap tirainya, esok (Jumaat).

Katanya, istimewa program Rindok Digital di Pusa kali ini kerana ia bersifat inklusif.

“Tetapi kita menjurus kepada keperluan dan aspirasi masyarakat setempat kerana seperti mana sedia maklum sektor pertanian merupakan bidang terpenting di kawasan ini.

“Memandangkan kita ke arah pengaplikasian ekonomi digital, maka kita cuba mengetengahkan pertanian pintar kepada penduduk di sini.

IRTIDZAR RAZALI

“Kerana, SMA ingin memastikan masyarakat dapat membangunkan diri, kerjaya dengan menggunakan kaedah-kaedah terkini,” katanya ditemui Suara Sarawak selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir Rindok Digital @ Pusa di Pejabat Residen Bahagian Betong, semalam.

Dalam pada itu jelasnya, SMA aktif melaksanakan promosi tentang penggunakan teknologi digital dalam kalangan masyarakat setempat seperti aplikasi Sarawak Pay, Sarawak ID dan sebagainya.

“Ini amat penting supaya masyarakat tempatan khususnya golongan muda lebih terdedah kepada teknologi terkini.

“Selain itu, melalui Rindok Digital juga kita berusaha mencungkil bakat-bakat muda untuk ditonjolkan ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Irtidzar melahirkan penghargaan terhadap Adun Beting Maro Razaili Gapor khususnya selain Pejabat Residen Bahagian Betong, Pejabat Daerah Pusa, semua agensi kerajaan malah badan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan sokongan padu untuk memastikan kelancaran program yang dijadual bermula 7 Februari sehingga 9 Februari depan di Dataran Tandang Sari Pusa.

RAZAILI GAPOR

Pihaknya menyasarkan lebih 3,000 penduduk sekitar hadir membanjiri Pekan Pusa pada majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Malah, sepanjang tiga hari itu dianggarkan lebih ramai yang akan hadir.

Ketika memperincikan program, beliau menyatakan Abang Johari turut menunaikan solat fardhu Jumaat bersama muslimat di Masjid Rahmaniah.

Selepas itu, pelbagai aktiviti menarik berlangsung antaranya pertandingan karaoke (Bakat Kamek), pertandingan mewarna, e-sukan (Mobile Legend), sesi bersama komuniti tempatan, Malam Berselawat Pusa dan ceramah agama bersama Imam Muda Ustaz Nazrul Izwan Zolkiflee.

Menjelang hari kedua diadakan Battle of The Band, randau pertanian bersama Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (MANRED), kempen makan buah-buahan tempatan, pertandingan menangkap ikan keli, forum ‘Apa ada di Pusa’ serta bengkel pembungkusan dan pelabelan produk.

Pada hari terakhir berlangsung kejohanan warisan budaya Melayu (bergendang dan pertandingan bertandak) selain ceramah digital tentang Sarawak ID, Sarawak Pay, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) dan Pustaka PANDEi.

Sepanjang tiga hari itu juga, banyak agensi dijangka mengadakan pameran antaranya pihak SMA sendiri, Centexs, MANRED, Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Sarawak Energy Berhad (SEB), Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (Pelita), Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Temasya Warisan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE), Pustaka PANDEi, Sarawak Pay, Positive Mind, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan pelbagai lagi.

Razaili yang turut hadir ke mesyuarat berkenaan ketika ditemui menjemput dan mempelawa orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan Program Rindok Digital @ Pusa yang disifatkan sebagai peluang terbaik untuk merapatkan silaturahim antara pemimpin Kerajaan Sarawak dan rakyat di Bahagian Betong amnya dan Daerah Pusa khususnya.