KUCHING: Projek bekalan air Samariang (Fasa Satu) yang bernilai RM85 juta dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2021. Menteri Muda Bekalan Air Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia melibatkan pembinaan pam penggalak berkapasiti 50 juta liter sehari dan tangki aras tinggi berkapasiti 12 juta liter.

Menurutnya, projek turut melibatkan pemasangan saluran paip bersaiz 1,200 mm sepanjang 13 kilometer dari persimpangan Jalan Matang ke stesen pam penggalak dan, saluran paip bersaiz 700 mm sepanjang tiga kilometer dari stesen pam penggalak ke tangki aras tinggi.

“Apabila siap dan mula beroperasi kelak, projek yang dibiayai sepenuhnya Kerajaan Sarawak ini akan menambah baik sistem bekalan air di kawasan yang mengalami tekanan air rendah pada waktu puncak. “Ia juga akan dapat memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat menjelang tahun 2030 di sepanjang Jalan Sultan Tengah hingga ke Damai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Sesi Taklimat Projek Rakyat Bekalan Air Samariang (Fasa Satu) di Dewan Masyarakat Bandar Baru Samariang semalam.

Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) menjelaskan, kawasan di sepanjang Jalan Sultan Tengah memerlukan sekitar 20 juta liter air sehari untuk keperluan harian.

“Dengan pembinaan projek ini, penyaluran air dapat ditingkatkan kepada 27 juta liter sehari. “Ia dapat memenuhi permintaan masyarakat hingga tahun 2030,” ujarnya.

Menurutnya lagi, projek tersebut merupakan salah satu program kawasan tumpuan di bawah Kementerian Utiliti. “Kerajaan Sarawak menyediakan RM2.8 bilion untuk pelaksanaan projek di kawasan tumpuan di seluruh negeri,” jelasnya.

Beliau turut berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang meluluskan dana untuk projek bekalan air tersebut. Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Chang Kuet Shian dan Jurutera Air Bahagian Kuching Chhoa Chia Yee.