KOTA KINABALU: Kesejahteraan orang ramai dan mengukuhkan ekonomi Sabah menjadi keutamaan dalam minda Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Beliau berkata, pelbagai parti politik telah mentadbir Sabah sejak beberapa dekad yang lepas, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan untuk membantu rakyat Sabah, terutama di kawasan luar bandar.

Menurutnya, beliau sedih melihat keadaan penduduk di luar bandar negeri itu yang masih berada dalam kemiskinan tanpa infrastruktur yang secukupnya.

Walaupun lanskap politik di Sabah dan di peringkat Persekutuan adalah baik, agenda mensejahterakan rakyat Sabah adalah lebih penting, katanya kepada Bernama.

Mohd Shafie, 62, berbual mesra selama lebih sejam semasa kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Puan Nurini Kassim dan Ketua Pengarang Datuk Mokhtar Hussain di pejabatnya di Likas baru-baru ini.

“Kena jaga ekonomi negeri Sabah dahulu. Itu keutamaan kita,” tegas beliau pada pertemuan tersebut.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah ke-15 selepas pilihan raya umum Mei 2018 yang menyaksikan berakhirnya pemerintahan Barisan Nasional pimpinan Umno di Sabah ekoran pelbagai skandal rasuah.

Ahli Parlimen Semporna itu pernah menjadi menteri di bawah pentadbiran yang lepas tetapi dipecat bersama Menteri Dalam Negeri sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana tidak bersetuju dengan skandal 1MDB.

Mohd Shafie berkata kerajaan baharu Sabah pimpinannya yang mentadbir negeri ini selama setahun sembilan bulan berada di landasan yang betul dalam memantapkan ekonomi negeri.

Katanya ia membolehkan pembayaran hutang oleh pentadbiran negeri lepas sebanyak RM1 bilion pada Disember tahun lepas.

Mohd Shafie juga mengisytiharkan tarikh 24 Dis sebagai cuti tambahan perayaan Krismas di Sabah bagi membolehkan penduduk Kristian lebih selesa membuat persiapan menyambut perayaan itu.

“Ia tidak pernah dilakukan oleh kerajaan negeri sebelum ini di bawah Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah,” kata Mohd Shafie.

Shafie yang  dilihat antara pemimpin yang mempunyai pertalian keluarga dan kenalan yang luas baik di Sabah mahu pun di Semenanjung.

Selain isterinya Datin Seri Shuryani Shuaib yang berasal dari Kedah, Mohd Shafie yang mempunyai enam anak (lima lelaki dan seorang perempuan) juga mempunyai menantu dari Kelantan, Johor, Selangor serta bakal menantu orang Cina campuran Melanau dari Sarawak.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada bulan lepas, Mohd Shafie berkata banyak perkara yang boleh diambil iktibar daripada pilihan raya itu.

Katanya ia bagi memantapkan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan lepas, BN mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis menerusi calonya, Datuk Mohamad Alamin, 48, yang menang dengan majoriti 2,029 undi selepas memperoleh 12,706 undi, manakala calon Warisan Datuk Karim Bujang, 67, meraih 10,677 undi.  – Bernama