SIMANGGANG: Harmoni serta dapat hidup bersatu dalam kepelbagaian menjadikan Sarawak negeri istimewa dan unik, seterusnya menjadi ikon perpaduan kepada negeri lain dalam Malaysia.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis memberitahu, perpaduan merupakan tunjang kepada kelancaran pembangunan negeri “Ternyata Sarawak berada pada landasan yang tepat dalam membangunkan negeri dan rakyatnya.

“Sebab itu, kita harus berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana telah berjaya mengekalkan keutuhan hubungan antara kaum sehingga urusan membangunkan negeri dipermudahkan,” katanya.

Beliau yang juga Adun Simanggang berkata demikian semasa merasmikan Program Apresiasi dan Majlis Ikatan Perpaduan bersempena Tahun Baharu Cina (TBC) 2020 di sini, semalam.

Jelasnya, program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Jawatankuasa Permuafakatan Kawasan Rukun Tetangga (JPKRT) Bahagian Sri Aman berlangsung meriah.

Menurutnya lagi, dianggarkan 700 ahli daripada 56 KRT di sekitar Bahagian Sri Aman hadir menunjukkn komitmen.

Harden dalam pada itu, mengakui majlis ini juga bertujuan memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada masyarakat Tiong Hua yang baharu sahaja merayakan TBC hujung bulan lalu.

“Malah, kita juga ingin merapatkan hubungan dan mengutamakan perpaduan dalam kalangan tetamu sambil dapat bertukartukar pendapat untuk kebaikan bersama,” ujarnya.

Program diisi dengan persembahan tarian singa, tarian perpaduan etnik serta penyampaian Sijil Penghargaan kepada 20 KRT yang aktif di Bahagian Sri Aman serta cabutan bertuah.

Hadir sama Pengarah JPNIN Sarawak Dirwana Azool, Residen Bahagian Sri Aman Indit Bangai, Pegawai Daerah Sri Aman Mohd.

Ashree Wee dan Pegawai Perpaduan JPNIN Bahagian Sri Aman Ahmad Noorkamal Abdul Malek.