KUCHING: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menggalakkan penyertaan belia dalam gerakan koperasi untuk meningkatkan ekonomi negara.

Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, penglibatan belia dalam Angkasa dapat mewujudkan kepelbagaian sektor perniagaan baharu melalui kepesatan Industri Revolusi 4.0 yang disertai golongan tersebut.

“Inovasi dunia digital dan penggunaan teknologi tinggi dapat meningkatkan pengeluaran produk dan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap di samping mengurangkan kos perniagaan.

“Penggunaan teknologi digital juga membuka banyak ruang dan peluang perniagaan melalui pasaran dalam talian,” katanya pada Majlis Penutupan Forum Belia Global (GYF20) di sini, semalam.

Menurut Abdul Fattah lagi, Angkasa telah memanfaatkan penggunaan teknologi melalui inisiatif Barangan Asas 100 (BA100) dalam usaha menawarkan harga barang asas yang lebih murah kepada pengguna.

Inisiatif itu jelasnya, diperluaskan ke peringkat koperasi institusi pengajian tinggi dan koperasi sekolah bagi memperkasakan penyertaan belia untuk memaksimumkan penggunaan teknologi dalam perniagaan.

Sehingga Jun tahun lalu, terdapat 208 koperasi belia dengan 81,199 keanggotaan, manakala sehingga Disember 2018, jumlah aset koperasi belia adalah sebanyak RM145 juta, modal syer atau yuran (RM34 juta) dan perolehan (RM28 juta).

Manakala sehingga Disember 2018, terdapat 454 operasi dalam kumpulan belia termasuk universiti awam, universiti swasta, matrikulasi, politeknik, atlet sukan, institut kemahiran dan kolej awam serta swasta yang telah ditubuhkan.

Penubuhannya memberikan manfaat kepada 259,585 anggota dengan aset berjumlah RM772 juta, modal syer atau yuran RM209 juta dan perolehan sebanyak RM300 juta.