Terus pertahan hak walau terpaksa diselesaikan di mahkamah

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus mempertahankan semua hak negeri ini meskipun terpaksa diselesaikan di mahkamah. Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, amaran tersebut dituju kepada pihak tertentu yang cuba menyamakan undang-undang Kanun Tanah Negeri dengan undang-undang lain.

“Adalah sidak nak cuba… apa salah tanah tok, undang-undang apa, semua nak nama dicantum nak dimerge… selagi GPS ada, langkah mayatku dulu!” kata pada Majlis Pelancaran GPS Zon Sembilan Sibu di Dewan Suarah Sibu, baru-baru ini.

Abang Johari juga menyentuh mengenai undang-undang Kanun Tanah Negeri dan menjamin untuk mempertahankannya sama seperti isu minyak dan gas.

“Saya tidak akan mengundur diri. Saya bersama-sama orang Sarawak terus memperjuangkan semua hak ini. “Jika perlu ke makamah, kita akan pergi… untuk memastikan semua hak ini terpelihara,” ujarnya.

Abang Johari turut menyentuh mengenai pembahagian cukai yang dikutip dari negeri ini oleh Kerajaan Persekutuan dan seharusnya diagihkan kepada Kerajaan Sarawak berdasarkan formula khas.

Menurutnya, pemberian geran khas Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya diagihkan begitu sahaja tetapi mengikut peruntukan undang-undang di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan mesti memberi semula yang diambil dari Sarawak mengikut formula khas. “Saya sudah berbincang perkara ini dalam Jawatankuasa MA63, bahawa kita mahu geran tersebut disalurkan menerusi satu formula khas,” jelasnya.