SETIAP pekerja layak mendapat kemudahan kebajikan yang disediakan oleh majikan tanpa mengira bidang pekerjaan yang diceburi. Kebajikan merupakan keperluan asas untuk pekerja yang turut termaktub dalam undang-undang negara.

Majikan haruslah mempertimbangkan perancangan dan kemudahan kebajikan dan jaminan aspek keselamatan pekerja.

Kemudahan yang mencukupi dan diselenggara dengan baik boleh memberi manfaat kesihatan dan kesejahteraan pekerja.

Jika dilihat, isu ini jarang diperkatakan di khalayak, tetapi ia tetap berlaku kepada segelintir pihak yang tidak berani menghebahkannya demi kebaikan kedua-dua pihak.

Kita mempunyai hak masing-masing, baik sebagai pengguna, pekerja dan juga daripada aspek lain untuk dipertahankan demi kesejahteraan bersama.

Jalin hubungan baik

Sebagai majikan, menjaga kebajikan pekerja sepatutnya tidak dijadikan satu pilihan kerana ia wajib dan perlu dilaksanakan berteraskan prinsip ditetapkan.

Hal ini kerana perkara ini bukan sahaja untuk memenuhi peraturan sedia ada, malah untuk menjalin hubungan yang baik sesama manusia.

Ramai pihak yang memandang ringan akan hal ini terutamanya bagi pihak pekerja yang gagal menyuarakan kejadian yang berunsur penindasan oleh majikan sendiri.

Harus berani buat laporan

Pekerja harus tampil berani melaporkan tindakan majikan yang bertentangan dengan kewajiban mereka kepada pihak berkuasa untuk mencegah sikap negatif ini berterusan dalam organisasi. Budaya negatif, jika tidak dibendung dari awal akan menimbulkan pelbagai masalah kepada semua pihak dan seterusnya menyumbang kepada penularan sikap negatif dalam diri masyarakat.

Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk mencegah permasalahan ini daripada terus berlaku. Pada masa yang sama masyarakat hendaklah mengambil berat akta-akta yang berkaitan untuk menegakkan kebenaran bagi melindungi hak yang perlu dipertahankan.

Bagi pihak berkuasa pula, mereka perlu menguatkuasakan undang-undang sedia ada serta kerap membuat pemantauan terhadap organisasi.

Sejajar dengan hasrat kerajaan yang mengimpikan sebuah negara maju yang seimbang dari semua aspek, kita sebagai rakyat perlu sama-sama bertindak ke arah mencapai kejayaan itu.

Kerjasama semua pihak amatlah penting, bagi mewujudkan situasi menang menang.