KUCHING: Kesukaran menggunakan sabun biasa di pasaran menyebabkan Teh Ik Pei memulakan perniagaan sabun, The Bare Soap. Kata Ik Pei, sebelum ini kulitnya sangat sensitif dan sukar untuk membuat pilihan menggunakan sabun yang terdapat di pasaran.

“Kulit saya ada masalah dengan sabun yang digunakan di pasaran… sudah banyak kali saya tukar sabun, namun kesannya tetap sama. “Maka dari situlah saya mendapat idea untuk belajar cara membuat sabun yang sesuai dengan kulit saya,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di Pasar Minggu Barangan Terpakai di Bangunan Mahkamah Lama di sini, semalam.

Tambahnya, pada awalnya, dia menggunakan lebih 50 kilogram (kg) sabun, hanya untuk bahan kajian dalam tempoh setengah tahun. Kata Ik Pei, dia perlu mencuba sendiri sabun buatannya sebelum meneruskan penggunaan kerana setiap kulit berbeza.

“Saya juga memberikan sabun buatan saya kepada sahabat terdekat. Mereka sangat berpuas hati dan dari situlah bermulanya langkah saya ingin memulakan perniagaan sabun,” ujarnya.

Selain itu, Ik Pei juga mengatakan sabun mempunyai pelbagai jenis dan kesesuaian terhadap jenis kulit. “Kita mempunyai jenis kulit kering, kulit berminyak atau berjerawat dan juga kulit sensitif. “Jadi saya tambah herba seperti minyak zaitun, minyak kelapa dan mentega syed,” jelasnya sambil menyatakan mentega syed bukan hanya sesuai untuk makanan, malah bagus untuk kulit.

Guna acuan kuih Kata Ik Pei lagi, dia memulakan perniagaan The Bare Soap dua tahun lalu dan kini sabun buatannya sudah menjangkau pasaran luar negara seperti Singapura, Taiwan dan Jepun. Bukan itu sahaja, terdapat juga pelanggan dari Amerika Syarikat dan New Zealand.

Bagaimanapun jelasnya, perniagaan sabun tidak seperti perniagaan lain yang membawa untung besar setiap bulan. “Perniagaan ini tidak stabil, malah dalam sebulan saya hanya mendapat RM300 sahaja tetapi jika ada pameran hasil jualan boleh menjangkau RM800 dan ke atas” ujarnya lagi.

Setelah dua tahun menjalankan perniagaan The Bare Soap, beliau berjaya menghasilkan lebih 20 jenis, termasuk sabun susu badan yang hanya dibuat jika ada permintaan pelanggan. Hanya dengan menggunakan acuan kuih, Ik Pei mampu menghasilkan sabun pelbagai saiz dan bentuk. Ia dijual RM10 bagi sabun 55gm dan RM20 untuk 100gm.

The Bare Soap juga mempunyai pakej sabun yang sesuai untuk hadiah dan sesuai bagi kanak-kanak yang berusia dua tahun dan ke atas. Di samping itu, dalam seminggu dia boleh menghasilkan lima hingga 10 kilogram sabun dan boleh digunakan dalam tempoh dua hingga tiga bulan.

Ik Pei menjelaskan dia hanya memerlukan dua jam lebih untuk menghasilkan sabun namun ia perlu dibiarkan selama sebulan hingga tiga bulan untuk dijual agar kadar pH turun sebelum digunakan. “Semakin lama sabun tersebut dibiarkan, ia semakin keras dan semakin bagus,” jelasnya.