LIMBANG: Lebih 400 peniaga berniaga di lokasi baharu tamu sementara di belakang Bangunan Bangkita. Walikota Majlis Daerah Limbang (MDL) Sufian Mohat berkata, jumlah itu meningkat mendadak berbanding hanya 250 peniaga di tapak lama sebelum ini.

“Kita menjangkakan jumlah peniaga di tapak sementara ini akan bertambah setiap hari menjelang musim buah yang kini sedang melanda Limbang. “Malah kawasan ini agak luas berbanding kawasan lama,” ujarnya.

Sufian menambah, selepas mengadakan perbincangan dengan Adun Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, MDL membuat keputusan untuk menempatkan peniaga buah di tamu sementara itu.

“Ia sekali gus menyelesaikan isu yang membelenggu peniaga buah di Limbang selama ini,” tambahnya. MDL juga katanya, sedang menambah baik kemudahan di tamu sementara dengan cadangan untuk menutup lot parkir di kawasan berhampiran sekiranya bilangan peniaga buah meningkat minggu depan.

“Kemudahan tong sampah juga sedang ditambah bagi memudahkan peniaga dan orang ramai membuang sampah, selain menambah kakita-ngan untuk menjaga kebersihan.

“Bagaimanapun, peniaga juga perlu memberikan kerjasama dengan menjaga kebersihan tapak berniaga masing-masing,” tegasnya. Jelasnya lagi, setakat ini pihaknya belum dapat menyediakan lampu jalan dan tandas awam. “Kita menyarankan semua peniaga agar berjaja pada awal pagi hingga petang kerana ketiadaan lampu jalan di tapak berniaga sementara ini,” ujarnya.

Sufian menjelaskan, tapak sementara berhampiran Padang MDL sekarang merupakan lokasi bagi projek pembinaan Dataran Awam Limbang di bawah Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA).

“Dataran Awam Limbang bukan sahaja taman rekreasi tetapi merangkumi pembinaan 260 lot parkir, yang juga akan menempatkan tapak kekal bagi tamu Khamis dan Jumaat dan musim buah jika siap nanti. “Kerja-kerja pembinana projek bernilai sekitar RM4 juta ini akan mengambil tempoh 18 bulan untuk siap,” katanya.

Justeru, beliau mahu para peniaga membiasakan diri berniaga di kawasan itu kerana apabila ia siap kelak, kawasan berkenaan akan menempatkan taman permainan, pentas, padang dan rekreasi lain.