KUALA LUMPUR:  Peniaga yang dilihat semakin bersaing dalam pelbagai saluran pembayaran, pilihan pembayaran digital tanpa tunai penting untuk kekal relevan dalam dunia yang kompetitif.

Melalui penggunaan e-dompet, mereka melihat penyertaan yang tinggi kebanyakannya daripada golongan milenial, yang menjadi segmen pengguna yang kuat dan berpengaruh.

Pemilik Tealive, Loob Holding yakin pembayaran e-dompet boleh menjadi trend dengan penggunaan yang meningkat dalam kalangan pengguna dalam pasaran yang mempunyai ramai peniaga besar dan kecil, menerima tanpa tunai digital sebagai kaedah pembayaran.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Bryan Loo memberitahu Bernama, Tealive berjaya menukar pengguna baharu daripada promosi e-dompet dalam skala besar yang dijalankan terutamanya di bandar-bandar kecil pada 2019 daripada pencari nilai yang mahukan tawaran yang terbaik.

“Beberapa jenama e-dompet membina ekosistem mereka sendiri, yang meliputi gaya hidup pengguna, walaupun ada yang memberi tumpuan kepada pemindahan dan pembayaran bil sebagai ciri utama mereka.

“Bagaimanapun, e-dompet sebagai kaedah pembayaran masih agak baharu berbanding kad dan akan memerlukan dorongan yang berterusan untuk mengekalkan penggunaannya, manakala urus niaga dalam talian dan barangan berharga tinggi akan terus menyaksikan lebih banyak penggunaan kad kredit berbanding e-dompet buat masa ini,” katanya.

Tealive mula menerima pembayaran e-dompet pada 2017 daripada jenama seperti Touch ‘n Go eWallet, GrabPay, Boost, Alipay, WeChat Pay, Razer Pay dan Maybank QRPay dan menyaksikan pertumbuhan dalam penggunaan e-dompet dari tahun ke tahun.

Rantaian pasar raya terbesar di Malaysia, Mydin Mohamed Holdings Bhd mencatatkan peningkatan sebanyak 400 peratus dalam penggunaan pembayaran e-dompet di kedainya sejak kerajaan memperkenalkan insentif e-dompet bernilai RM30 di bawah program e-Tunai Rakyat.

Pengarah Urusannya Datuk Ameer Ali Mydin berkata trend untuk e-dompet terus konsisten yang menjadi bukti kepada kejayaan program itu untuk memacu penggunaan pembayaran digital.

Oleh itu, katanya Mydin merancang untuk memperkenalkan pembayaran e-dompet dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Pada masa ini, ia menggunakan terminal e-dompet Touch ‘n Go di kedainya.

“Kami terbuka untuk menggunakan penggiat e-dompet yang baharu yang telah diluluskan oleh Bank Negara Malaysia.

“Ia menjadi tanggungjawab kami sebagai antara penggiat utama industri runcit tempatan untuk menyokong inisiatif kerajaan untuk menggunakan e-dompet, selagi kadar diskaun peniaga rendah atau lebih baik lagi sifar,” kata Ameer.

Fave, aggregator pembayaran yang menghubungkan peniaga dan pengguna untuk memberikan pengalaman pembayaran yang lancar dan ganjaran peniaga, melihat pembayaran tanpa tunai menjadi aspek penting dalam kehidupan orang ramai – bukan menggantikan kad sepenuhnya, tetapi lebih melengkapinya.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Joel Neoh berkata Fave mempunyai pertumbuhan yang pesat dengan memproses urus niaga tanpa tunai lebih RM1 bilion daripada lebih 30,000 peniaga di Malaysia, Singapura dan Indonesia pada 2019.

Tahun lepas, pertumbuhan mencapai tiga kali ganda menunjukkan usaha kukuh Fave untuk menguasai aspek tanpa tunai di Malaysia, dan syarikat akan terus berkembang pada 2020 dengan penyertaan Fave dalam ekosistem DuitNow QR.

“Cara kita membayar dan mendapat bayaran telah berubah. Malaysia memulakan ‘ekonomi baharu’ di mana pendigitalan dan penggunaan pembayaran tanpa tunai mengalami trajektori meningkat,” kata Noel.

Kajian oleh Fave baru-baru ini, ‘2020 Retails Trends in Malaysia” menunjukkan perniagaan menggunakan pembayaran tanpa tunai sebagai kaedah untuk mengurangkan kos pembayaran dan menyelaraskan operasi mereka dengan pembayaran yang lebih mudah akan menjadi antara trend utama pada tahun ini.

Trend lain ialah pembayaran tanpa tunai yang membolehkan peniaga memberi insentif kepada pelanggan mereka dengan program kesetiaan digital seperti pulangan tunai.

“Teknologi sepatutnya dibuat untuk manusia, dan bukan sebaliknya,” katanya.

Pengguna boleh menghubungkan e-dompet mereka seperti Boost atau menyimpan kad mereka untuk digunakan di Fave.

Enggan ketinggalan, platform e-dagang — Shopee memperkenalkan ShopeePay pada 2019 untuk menambah pilihan pembayaran yang sedia ada seperti pemindahan bank, kad kredit/debit, perbankan dalam talian dan pembayaran tunai di kedai serbaneka.

Menurut Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho, sejak pengenalannya, e-dompet ShopeePay telah diterima dengan baik di Malaysia, dengan pertumbuhan penggunaannya yang kukuh dalam kalangan pengguna.

Katanya Shopee mencatatkan peningkatan urus niaga yang besar yang dibuat melalui ShopeePay dalam kempen jualannya, 9.9, 11.11 dan 12.12 pada 2019.

“Kerajaan dan perniagaan turut memainkan peranan utama dalam menjadikan pembayaran digital lebih kukuh dan inklusif untuk menjadikannya boleh diakses oleh semua orang, dan perlu bekerjasama untuk mencapainya,” kata Ho.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah berkata selain daripada jenama besar, sebanyak 60 peratus daripada peniaga dengan aplikasi e-dompet tanpa tunai utama terdiri daripada perniagaan kecil dan mikro seperti penjual nasi lemak, vendor pasar malam dan pengendali trak makanan.

“Beralih daripada tunai kepada e-dompet atau pembayaran tanpa tunai merupakan peralihan minda. Ia mengambil sedikit masa dan pendidikan sebelum peniaga berasa selesa untuk beralih. Tetapi kami percaya ini akan berlaku tidak lama lagi.

“Jika kita melihat kepada industri runcit secara amnya, kebanyakan peruncit jenama besar seperti Mydin, Tesco, KK Mart dan AEON Big telah menjadi peniaga Boost.

“Mereka merupakan pemimpin industri dan peneraju trend. Jenama besar ini dapat melihat manfaat daripada menawarkan pembayaran e-dompet berikutan kemudahan yang diberikan kepada pelanggan selain mengurangkan keperluan untuk menguruskan tunai,” kata Mohd Khairil.

Beliau berkata inisiatif e-Tunai Rakyat yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng juga merupakan pemangkin yang besar untuk menggalakkan penggunaannya dalam kalangan peniaga.

“Antara isu yang dihadapi oleh perniagaan ini ialah akses kepada pembiayaan daripada bank. Disebabkan saiz perniagaan mereka dan kekurangan skor kredit mereka, mereka mendapati sukar untuk mendapatkan kelulusan pinjaman kecil untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Boost, melalui syarikat sekutu kami, Aspirasi, kini menawarkan pinjaman mikro dan insurans kepada segmen usahawan ini yang mereka tidak mempunyai akses sebelum ini,” katanya.

Sehingga akhir Januari 2020, Boost mempunyai 138,000 peniaga, dan 6.2 juta pengguna boleh membayar dengan Boost di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd Ignatius Ong berkata Touch ‘n Go eWallet adalah satu-satunya platform tanpa tunai di Malaysia mempunyai dasar Jaminan Pulangan Wang, yang menggalakkan lebih ramai peniaga dan pengguna memilih tanpa tunai dengan jenama itu.

Setakat ini, ia mempunyai sembilan juta pengguna berdaftar dan 135,000 peniaga aktif di seluruh negara, peruncit luar talian dan dalam talian.

“Apabila mengenai penggunaan dompet mudah alih, rakyat Malaysia pada amnya berhati-hati. Bagi peniaga, ia adalah kebimbangan mengenai keselamatan terhadap pendapatan mereka, butiran mereka dan ketidakpercayaan umum terhadap teknologi,” katanya, sambil menambah mereka juga bimbang bahawa mereka mungkin terdedah kepada penipuan dan penggodaman.

“Aspek utama di sini ialah memahami mengenai kebimbangan mereka dan menawarkan penyelesaian yang akan membantu mengurangkan ketidakpastian itu, yang kemudiannya membina kepercayaan dan tahap keselesaan mereka dalam memilih tanpa tunai dengan kami.

“Melalui pendidikan yang berterusan dan menunjukkan mengenai manfaat daripada Touch ‘n Go eWallet, kami akan dapat menarik lebih ramai peniaga untuk menawarkan pilihan urus niaga yang mudah untuk perniagaan mereka,” kata Ong.

Grab yang melancarkan GrabPay lebih setahun lalu dengan visi untuk menjadi pilihan e-dompet rakyat menawarkan kemudahan pembayaran yang lancar kepada rakyat Malaysia untuk perkhidmatan harian.

GrabPay Malaysia berkata peniaga dalam platformnya mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak empat kali ganda.

Selain itu, pengguna GrabPay dapat menjimatkan sehingga RM5.5 juta pada separuh kedua 2019 dengan menggunakan GrabPay untuk membayar keperluan harian mereka seperti pengangkutan, membeli-belah dan penghantaran makanan.

Pada masa ini, GrabPay diterima di seluruh negara di pelbagai perniagaan dan perkhidmatan seperti pasar raya besar, peruncit kesihatan dan kecantikan, pawagam, rangkaian makanan segera dan kedai serbaneka serta dalam ekosistem perkhidmatan Grab — Grab Rides, GrabFood, GrabMart dan GrabExpress.

“Sejajar dengan agenda kerajaan untuk memacu ekonomi digital, kami komited untuk mempercepatkan dan mengukuhkan penggunaan pembayaran digital di Malaysia dengan rakan kongsi yang berfikiran sama,” menurut GrabPay Malaysia.

Baru-baru ini, GrabPay bekerjasama dengan PayNet untuk menggunakan DuitNow QR, standard nasional QR di Malaysia.

Melalui kerjasama ini, pengguna boleh membuat pembayaran dengan mudah dari mana-mana bank-bank yang mengambil bahagian atau aplikasi mudah alih e-dompet dengan peniaga hanya perlu memaparkan satu Kod QR untuk menerima pembayaran. – Bernama