KUCHING: Edisi kelima Konsert Antarabangsa Paint The World 2020 di bangunan lama Dewan Undangan Negeri, Petra Jaya pada 15 Januari ini akan mengetengahkan beberapa kelainan sebagai tarikan tambahan kepada pengunjung.

Dalam konsert kali ini, Shazia Ramzan dan Kainat Riaz yang berasal dari Pakistan akan turut serta sebagai penceramah bersama-sama Malala Yousafzai.

Kedua-dua wanita itu yang kini sedang melanjutkan pengajian di United Kingdom hari ini sudah menikmati kehidupan seperti wanita di negara lain. Merreka berdua merupakan mangsa keganasan di Pakistan.

Sehubungan itu, generasi muda terutama belia dialu-alukan terlibat dalam konsert tersebut yang turut mendapat sokongan daripada Kerajaan Sarawak, ajak Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Bercakap pada sidang media di sini, Abdul Karim menjelaskan bahawa konsert itu diadakan untuk mengiburkan golongan yang memerlukan terutamanya kanak-kanak penghidap kanser, orang kelainan upaya serta kecacatan autistik.

Menurutnya, selain memberikan inspirasi kepada golongan muda di negeri ini, konsert itu adalah wadah pengkongsian keceriaan.

Terbuka kepada orang ramai, konsert itu juga melibatkan sukarelawan dari luar negara, antaranya Brunei, Pakistan, Georgia dan Sepanyol.

Kemasukan adalah percuma dan sekitar 750 orang dijangka akan turut serta.

Dalam sidang media yang sama, pengasas Paint The World Malaysia turut memberitahu, konsert itu adalah wadah untuk mengetengahkan suara generasi muda.

Ikon Belia 2018/2019 itu selanjutkan menjelaskan, konsert itu turut diadakan untuk berkongsi kelestarian, pemuliharaan hidupan liar, kepemimpinan belia, keusahawanan serta hak wanita.

Generasi muda jelasnya turut diberikan peluang untuk berbincang dan berbahas tentang idea untuk membangukan negeri ini.