SARIKEI: “Oh tedah.” Itu yang mampu diluahkan Osman Jalaini Rambli, 46, yang menjumpai seekor monyet belanda ketika meranto ikan di Sungai Limut Selalang, semalam.

Menurut Osman, dia cuba untuk mengangkat monyet itu ke dalam perahunya namun membatalkan hasrat tersebut kerana saiz haiwan itu yang besar.

Katanya, ia merupakan pengalaman pertamanya terserempak dengan species terancam itu sepanjang menjadi nelayan.

Osman Jalaini Rambli

Osman

“Saya ingat kayu terapung namun ia mula menarik perhatian saya apabila bergerak.

“Sejurus itu, saya pergi ke arah ‘benda’ tersebut. Sebaik sahaja perahu hampir dengannya, saya terkejut apabila mendapati ia rupa-rupanya monyet belanda,” katanya kepada Suara Sarawak.

Osman berkata, dia tersentuh hati melihat haiwan itu terkapai-kapai berenang dan memandu botnya mengiringi monyet berkenaan hingga ke pantai kerana bimbang dengan ancaman buaya.

Video penemuan itu sempat dikongsikan beliau sebelum tular di laman sosial sejak semalam.

Dalam rakaman berdurasi tiga minit itu, Osman kedengaran berkata, ‘laju sikit ko berenang ya’, seolah-olah memberi semangat kepada haiwan berkenaan.

“Saya menarik nafas lega apabila haiwan sampai ke tebing sungai sebelum menghilang diri di hutan paya bakau itu,” katanya.