KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak semalam menegaskan bahawa mesej tular di media sosial tentang berlakunya kes Covid-19 di negeri ini adalah tidak benar.

Pengarahnya Dr Chin Zin Hing berkata, setakat ini tiada kes yang disahkan Covid-19 dilaporkan di negeri ini.

Menurutnya, setakat jam 12 tengah hari semalam (12 Februari), jabatan tersebut telah menerima 76 kes di bawah pemantauan (PUI) untuk Covid-19.

“Daripada jumlah itu, tiada kes positif dilaporkan, iaitu 59 kes disahkan negatif melalui ujian makmal.

“Manakala 17 kes lagi masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan akhbar situasi terkini Covid-19 di Sarawak, semalam.

Sehubungan itu Dr Cin meminta orang ramai sentiasa merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan sama ada oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kesihatan atau Ketua Pengarah Kesihatan untuk mengetahui situasi semasa Covid-19 umumnya, dan Sarawak khususnya.

Untuk itu sekali lagi beliau menegaskan, “orang ramai dinasihatkan juga tidak menyebarkan berita yang tidak benar.”

Individu yang menyebarkan berita palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan.