PARA atlet Sukma 2020 Sarawak dilarang menyertai pertandingan di luar negara ekoran penularan wabak COVID-19 yang masih menghantui dunia.

Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan berkata, terdapat beberapa persatuan yang akan mengikuti pertandingan di China, Hong Kong, Singapura dan Taipei namun dibatalkan.

“Sekarang ini kita melarang sebarang penyertaan pertandingan atlet kita ke luar negara kerana kita bimbangkan keselamatan dan kesihatan atlet.

“Saya berharap para atlet dapat mengekalkan momentum dan meningkatkan prestasi walaupun tidak dapat meneruskan hasrat untuk mengikuti pertandingan di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Menteri Belia dan Sukan bersama-sama persatuan Sukan Sukma XX-Johor 2020 di, Pusat Akuatik Pandelela Rinong, semalam.

Jelasnya, menyertai pertandingan berprestij di luar negara adalah baik untuk pengalaman dan dapat meningkatkan prestasi.

“Namun keselamatan dan kesihatan atlet adalah lebih penting.

“Oleh itu, kita hanya menggalakkan pertandingan dalam negeri atau negara sahaja,” katanya.

Atlet Sarawak sekarang ini sedang giat berlatih di bawah jurulatih masing-masing sebagai rangka persiapan rapi untuk menghadapi Sukma 2020 yang akan berlangsung di Johor pada 11 hingga 19 Julai depan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Dr Ong Kong Swee dan Pegawai Majlis Sukan Negeri Sarawak.