KUCHING: Sarawak sekali lagi akan mengadakan Spartan Sarawak Race 2020 di Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak pada 4 hingga 5 April tahun ini.

Seramai lebih 4,000 peserta dari 23 buah negara dijangka turut serta dalam perlumbaan pada kali ini antaranya dari Malaysia, Brunei, Indonesia, Filipin, Thailand, Vietnam, Amerika Syarikat, Hong Kong , China, Japan, India dan ramai lagi.

Selain itu, dua kali Juara dunia Spartan Race, Robert Killian turut mengesahkan penyertaan ke perlumbaan berkenaan sebagai Sarawak menjadi destinasi luar Amerika Syarikat pertama beliau untuk tahun ini.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Hamzah, sebelum ini perlumbaan Spartan yang pernah diadakan pada tahun lalu mencipta kejayaan serta reputasi sebagai sebuah acara Spartan yang paling sukar di rantau Asia Tenggara.

“Kuching tahun ini akan menjadi yang pertama untuk lokasi Siri Kualifikasi Bagi Rantau Asia Tenggara, tiga kategori dipertandingkan iaitu kategori Sprint sejauh 5 kilometer dan 20 halangan , kategori Super sejauh 10 kilometer dan 25 halangan dan Spartan Trial sebagai acara terbaru dengan jarak 20 dan 21 kilometer dan tiada halangan,” katanya dalam sidang media di Hotel River Majestic hari ini.

Untuk peserta dari China dan Hong Kong pula jelas Karim pihaknya kini akan berusaha memastikan peserta mendapat kawalan dan pemeriksaan rapi seperti mana yang dilakukan pada Le Tour De Langkawi lalu sebagai langkah berjaga-jaga terhadap Covid-19 ini.

Sehingga kini, tambah Karim seramai 1,950 peserta dari seluruh negara telah mengesahkan tempat dengan 568 peserta ialah dari luar negara.

Setiap peserta yang berjaya menghabiskan perlumbaan akan menyarung Medal Finisher rasmi Spartan dan T-Shirt Finisher, manakala untuk peserta yang dapat menempatkan diri ke podium akan membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM23,400.00.

Disamping itu, melalui kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak, bersama-sama Kuching Fitness Association dan CrossFit Kuching juga mengambil langkah memperkenalkan Spartan Race kepada komuniti melalui Spartan Community Workout menerusi April Spartan Race.

Bagi sembilan Spartan Community Workout yang pertama akan diadakan pada 15 Februari dan 23 Februari ini di Kampung Barieng Bau.

Untuk lebih lanjut mengenai acara Spartan Race 2020 ini orang ramai boleh melayari https://www.spartanrace.my .

Sunber gambar : spartan.com