KUCHING: Penjimatan RM3.1 bilion daripada pembatalan Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi Projek Lebuh Raya Pan Borneo bakal memberi manfaat kepada Negeri Sarawak dari segi pembinaan infrastruktur lain.

Ahli Parlimen Saratok yang juga Adun Krian Ali Biju berkata, penjimatan itu pasti akan memberi dana untuk diguna pakai untuk projek infrastruktur lain di Sarawak.

“Dana penjimatan sebanyak RM3.1 bilion ini sangat diperlukan dan sangat relevan untuk negeri Sarawak. “Kita akan memastikan dana yang dijimatkan ini digunakan untuk negeri ini iaitu membina lebih banyak lagi infrastruktur lain yang diperlukan oleh negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditanya pemberita pada Majlis RTM Bersama Rakan Sinergi di Auditorium Kecil RTM di sini, semalam.

Tambah Ali, penjimatan itu dibuat memandangkan konsep PDP dibatalkan dan secara automatik penjimatan yuran PDP sebanyak lima peratus daripada kos pembinaan lebuh raya itu dapat menguntungkan masyarakat Sarawak.

“Ia akan menguntungkan sebab orang tengah atau PDP tidak begitu diperlukan di dalam pembinaan sesuatu projek malah birokrasi projek juga berkurangan selain menambahkan penjimatan.

“Sekarang di kawasan Krian, perkembangan pembinaan lebuh raya adalah baik dan belum nampak sebarang kelewatan projek berlaku. “Saya mendapat maklum balas bahawa projek tersebut berjalan lancar dan kita akan sentiasa memantau serta meneliti mana-mana bahagian yang perlu diperbaiki dengan segera supaya penguna-penguna boleh menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo dengan selamat dan cepat,” ujarnya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini berkata sebanyak RM3.1 bilion dapat dijimatkan berikutan penamatan PDP projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Tambahnya, anggaran implikasi kewangan kepada kerajaan dengan penglibatan syarikat PDP sebelum ini ialah RM21.9 bilion manakala anggaran impli-kasi kewangan setelah tamatnya perjanjian PDP sekitar RM18.8 bilion.