KONTINJEN Sarawak belum lagi menentukan jumlah pingat yang menjadi sasaran dalam temasya Sukma 2020 yang akan berlangsung di Johor pada 11 hingga 19 Julai depan.

Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan berkata, ia hanya akan diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg atau Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Sukma 2016 kita hampir menjadi juara dan Sarawak sentiasa di tangga kelima teratas Sukma.

“Jadi kali ini kita impikan untuk menjadi juara selepas kemarau juara 26 tahun yang lalu,” kata Snowdan.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perjumpaan Menteri Belia dan Sukan bersama-sama persatuan Sukan Sukma XX-Johor 2020 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, semalam.

Sarawak yang akan menghantar 800 atlet serta pegawai pasukan untuk menghadapi kejohanan berprestij itu menyertai 31 acara, termasuk e-sukan.

“Senarai pendek atlet akan dihantar dan diterima pada Mac depan. Setakat ini, persatuan-persatuan sukan telah menghantar senarai panjang tetapi kita mahukan senarai pendek.

“Pihak kementerian akan turun padang dan memantau perkembangan atlet dari semasa ke semasa,” jelas Snowdan.

Majlis Sukan Negeri Sarawak akan mengadakan acara perasmian sempena 100 hari menjelang Sukma 2020 di Kuching.