SARIKEI: Tanpa mengira tempat dan waktu, tugas sebagai anggota bomba sangat pelbagai.

Tanggungjawab mereka bukan sahaja memadam kebakaran malah adakalanya, melangkaui tugas sebenar.

Malah walaupun berdepan risiko bahaya, ia tidak sedikitpun menghalang mereka untuk menjalankan tugas seperti memusnahkan sarang tebuan di Hospital Sarikei, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Mahmudin Narudin berkata, operasi di tingkat empat wad bersalin itu dilakukan menggunakan pakaian khas yang menutup keseluruhan anggota badan.

“Kami tetap berhati-hati ketika melakukan operasi ini, walaupun sudah biasa mengendalikannya sebelum ini. “Operasi dijalankan pada waktu malam kerana waktu siang tebuan masih aktif dan dibimbangi menyengat orang ramai berhampiran,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba Sarikei bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 9.12 malam. “Kedudukan sarang tabuan itu menyukarkan kami. “Kami menggunakan obor api dan racun serangga sehingga selesai. Operasi ini berjalan lancar,” ujarnya.