PUSA: Sungguhpun dilihat tidak seberapa, tetapi gerai burger yang diberikan oleh kerajaan suatu ketika dahulu menerusi Program 1Azam digunakan sebaik mungkin dan dapat memberikan pendapatan lumayan kepada pasangan suami isteri iaitu Spiee Meni dan Ozizah Lepong.

Ketika ditemui Suara Sarawak, kedua-duanya menyifatkan bantuan itu cukup berharga.

Malah, pasangan suami isteri itu yang berniaga burger hingga kini masih lagi menjadikan peralatan tersebut sebagai sumber menambah rezeki.

Sejak menerima bantuan tersebut kira-kira tiga tahun lalu, mereka mengakui perusahaan menjual burger tidak pernah berhenti.

“Sungguhpun tidak sepanjang hari, tetapi kami tetap beroperasi pada sebelah petang hingga malam.

“Ini kerana kami berasakan berniaga memberi pulangan lebihle-bih lagi sekiranya ada keramaian.

“Kami pastinya tidak akan melepaskan peluang. Misalnya seperti minggu lalu ada program Lan Berguley, minggu ini Rindok Digital… jualan memang umphhh!” katanya.

Jelasnya, bakti gerai burger 1Azam ini tidak ternilai.

Katanya lagi, setiap hari jika ada keramaian mereka boleh menjual lebih 200 burger.

“Pada hari biasa juga memuaskan, paling kurang 60 burger terjual dan lazimnya mencecah 100 burger.

“Bagi kami, pendapatan bulanan daripada jualan sebanyak itu amat bagus,” ujarnya yang mengusahkan menjual burger sebagai kerja sampingan.

Spiee dan Ozizah mengakui, ia turut disumbangkan oleh kualiti serta harga yang berpatutan.

“Kami cuma menggunakan bahan terpilih sahaja dan tidak mahu sesuka hati. Kalau kita sendiri berkehendak kepada sesuatu yang sedap, pembeli juga begitu.

“Kami amat mengutamakan kebersihan dan kualiti bahan. Menu burger daging dan daging telur antara pilihan pembeli,” katanya.

Mereka berharap penerima bantuan agar menghargai setiap sumbangan kerana jika dimanipulasi dengan betul ia boleh menambah pendapatan.